BERITA TERKINI   Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | 

Bank Rakyat Tawar Penangguhan Bayaran Ansuran Kepada Mangsa Banjir, Bencana Alam Di Sabah

KUALA LMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Bank Rakyat menawarkan bantuan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir dan kejadian tanah runtuh yang berlaku di beberapa daerah di Sabah baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata kemudahan tersebut bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung oleh pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

“Kemudahan yang ditawarkan ini merangkumi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.

“Bank Rakyat berharap agar kemudahan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas yang mana langkah proaktif ini juga amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Bank Rakyat, pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Bagi pelanggan Kad Kredit-i pula, mereka boleh menghantar permohonan ke e-mel kkredit@bankrakyat.com.my, manakala pelanggan perniagaan boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA