BERITA TERKINI   Peguam ADALAH laporkan sembilan kapal misi FFC x TTMG telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod - CEO MyCare | Peguam ADALAH sahkan kesemua 145 aktivis FFC telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel - CEO MyCare | FFC x TTMG: Sembilan delegasi Malaysia dalam keadaan selamat, tujuh telah bertemu peguam ADALAH untuk urusan guaman - CEO MyCare | Jabatan Wilayah Persekutuan gubal dasar wajibkan kategori pemilikan orang Melayu dalam pembangunan kawasan Kampung Sungai Baru - Dr Zaliha | Isu Kampung Sungai Baru: Nilai pampasan yang ditawar ketika pengambilan tanah lebih menguntungkan daripada harga pasaran - Dr Zaliha | 

Pelabur Asing Kembali Jadi Pembeli Bersih Di Bursa Malaysia, Dengan Aliran Masuk RM223.9 Juta Minggu Lepas

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lepas sekali gus mengakhiri jualan untuk minggu kesembilan berturut-turut sejak Julai, dengan aliran masuk ekuiti bersih RM223.9 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya, bank pelaburan itu berkata pelabur asing adalah pembeli bersih melibatkan tiga daripada lima hari dagangan, dengan Jumaat merekodkan aliran masuk bersih terbesar sebanyak RM230.7 juta.

Ini diikuti Khamis sebanyak RM107.1 juta dan Selasa bernilai RM28.0 juta manakala aliran keluar terbesar berlaku pada Isnin (RM80.4 juta), diikuti Rabu (RM61.6 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk asing bersih minggu lepas adalah produk perindustrian (RM132.1 juta), perladangan (RM93.9 juta) dan pembinaan (RM92.8 juta).

"Sektor yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM155.9 juta), penjagaan kesihatan (RM48.3 juta) dan pengguna (RM47.6 juta)," katanya.

Menurut MBSB IB, institusi tempatan menamatkan pembelian selama enam minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM133.0 juta minggu lepas.

"Peruncit tempatan juga menjadi penjual bersih, menamatkan pembelian selama dua minggu, dengan pengeluaran bersih RM90.9 juta," katanya.

Menurut bank itu purata jumlah dagangan harian menyusut melibatkan semua kumpulan pelabur pada sepanjang minggu berkenaan.

Pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak –1.83 peratus dan –14.9 peratus manakala pelabur asing merekodkan penurunan lebih ketara sebanyak –18.9 peratus, katanya.

-- BERNAMA