BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | 

Runjian Dari China Puji Sokongan Kerajaan Malaysia Terhadap Inisiatif AI, Pusat Data

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

NANNING (China), 16 Sept (Bernama) -- Penyedia penyelesaian kecerdasan buatan (AI) utama China, Runjian Co Ltd, memuji sokongan kerajaan Malaysia terhadap inisiatif kecerdasan buatan (AI) dan pelaburannya dalam dua pusat data kendaliannya di negara itu.

Naib Presidennya Athena Zhao berkata Runjian terlibat dalam membangunkan dua pusat data di Johor Bahru dan di Cyberjaya.

"Kami menyediakan perkhidmatan pusat data bagi syarikat utama termasuk YTL Corporation," katanya kepada peserta China International Press Communication Centre  (CIPCC) Asia Pasifik yang melawat ibu pejabat Runjian, di sini, pada Selasa.

Zhao berkata Runjian kini memberi tumpuan kepada ASEAN kerana rantau itu terletak berdekatan dengan China selain hubungan baik antara kedua-duanya.

“ASEAN sangat aktif, terutamanya Malaysia, yang telahpun menjadi tumpuan pelaburan asing. Berbanding dengan negara lain, persekitaran pelaburan Malaysia lebih mesra,” katanya.

Menurutnya, perniagaan luar negara Runjian semakin berkembang pesat dan syarikat itu telahpun menubuhkan anak syarikatnya di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina. 

Zhao berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu, pusat data dan aplikasi AI, menyediakan penyelesaian setempat untuk pelanggan ASEAN.

Semasa taklimat kepada peserta CIPCC, beliau berkata Runjian juga menjalin kerjasama dalam penyelidikan industri dengan dua universiti di Malaysia iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, China-ASEAN Artificial Intelligence Collaborative Innovation Centre (CAAIC) berkata Malaysia meneraju negara-negara anggota ASEAN dalam pelan induk Pusat Inovasi Kolaboratif Kepintaran Buatan China-ASEAN.

-- BERNAMA