BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Pengembangan RM3 Bilion X-Fab Di Sarawak Perkukuh Hab Semikonduktor Global

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- X-Fab, peneraju global dalam pembuatan semikonduktor analog/isyarat campuran dan khusus hari ini melancarkan pengembangan kemudahan pembuatan semikonduktornya di Sarawak bernilai RM3 bilion.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan X-Fab dalam satu kenyataan bersama, pengembangan bertaraf terkini itu meningkatkan kapasiti pengeluaran wafer X-Fab Sarawak daripada 30,000 unit kepada 40,000 unit sebulan.

MIDA dan X-Fab berkata pelaburan besar ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Kemudahan tambahan itu, kata mereka, mengkhususkan dalam penghasilan cip canggih untuk aplikasi automotif, perubatan dan industri.

“Pelaburan X-Fab merupakan satu langkah penting dalam perjalanan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan kita dalam industri semikonduktor global.

“Ia mencerminkan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap hala tuju perubahan industri jangka panjang kita serta menyokong jenis kerjasama yang ingin kita bina,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pengembangan ini menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab terkemuka bagi pembuatan maju, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030, Rancangan Malaysia Ke-13 dan Strategi Semikonduktor Nasional bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dan bernilai tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan ini merupakan pemangkin bagi peningkatan sosio-ekonomi di Sarawak selain mewujudkan kesan limpahan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Kita bukan sahaja menarik pekerjaan bernilai tinggi tetapi kita juga sedang membina generasi baharu dan bakat mahir selain memperkasakan perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan.

“Inilah intipati strategi nasional kita iaitu memastikan setiap pelaburan menjadi landasan untuk pertumbuhan terangkum dan kemakmuran bersama bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, CEO kumpulan X-Fab Rudi De Winter berkata syarikat itu menghasilkan cip yang menyelamatkan nyawa seperti yang digunakan dalam aplikasi ultrasound serta cip yang menggerakkan masa depan seperti penyelesaian semikonduktor kuasa untuk kenderaan elektrik dan infrastruktur pengecasan.

“Pengembangan ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti bulanan keseluruhan X-Fab Sarawak sebanyak 10,000 wafer tetapi juga lebih daripada menggandakan kapasiti tapak bagi teknologi ‘180nm BCD-on-SOI’ kami yang popular dan amat penting untuk aplikasi-aplikasi seperti ini,” kata De Winter.

 MIDA dan X-Fab berkata, barisan pengeluaran baharu itu kini beroperasi dan akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan global dalam sektor automotif, industri dan perubatan sekali gus mengukuhkan lagi nilai tawaran Malaysia dalam sektor pembuatan ini.

-- BERNAMA