BERITA TERKINI   Penetapan sempadan yang muktamad perkukuh kedudukan perundangan negara, tutup ruang tuntutan wilayah lebih besar masa hadapan - Arthur | Laporan media menyatakan Malaysia beri lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia tidak tepat - Arthur | Kerajaan sambut baik mekanisme aduan rasmi Majlis Media Malaysia urus etika kewartawanan - Fahmi | Rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan OBP antara Malaysia dan Indonesia dilaksanakan secara harmoni - Arthur | Isu sempadan: Pengukuran saintifik dilaksana berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia - Arthur | 

IILM Terbitkan Semula Sukuk Jangka Pendek US$960 Juta

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) menyelesaikan penerbitan semula sukuk jangka pendek beragregat US$960 juta (US$1=RM4.21) merentas tiga perbezaan tenor iaitu satu, tiga dan enam bulan.

Organisasi antarabangsa itu dalam satu kenyataan hari ini berkata tenor satu bulan ditawarkan pada kadar 4.30 peratus untuk US$260 juta, tenor tiga bulan pada kadar 4.20 peratus untuk US$550 juta dan tenor enam bulan pada kadar 4.12 peratus untuk US$150 juta.

“Urus niaga ini menandakan lelongan sukuk ke-16 IILM setakat tahun ini, menjadikan jumlah terbitan kepada US$16.61 bilion merentas 49 siri sukuk dengan tenor yang berbeza-beza,” katanya.

Terbitan hari ini juga hadir sejurus selepas tawaran US$1.285 bilion pada minggu lalu.

Lelongan itu menarik permintaan kukuh daripada rangkaian peniaga utama IILM dan pelabur global yang pelbagai dengan jumlah bidaan mencecah US$2.3 bilion.

Ia mencatat nisbah bidaan kepada terbitan purata yang kukuh sebanyak 2.4 kali, menekankan peranan berterusan sukuk IILM sebagai instrumen pengurusan kecairan yang berkualiti tinggi.

-- BERNAMA