BERITA TERKINI   Kelayakan Piala Asia 2027: Laos 0-3 Malaysia | FFC x TMTG : Beberapa sukarelawan Malaysia dikasari termasuk ditendang, ditampar atau dicengkam secara agresif oleh rejim Israel - CEO MyCARE | Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | 

Kenanga IB Unjur Pertumbuhan Sektor Pembuatan Malaysia 2025 Kekal Pada 3.9 Peratus

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia bagi 2025 pada kadar 3.9 peratus, lebih rendah berbanding 4.3 peratus pada tahun lepas dengan mengambil kira unjuran berhati-hati terhadap perdagangan luar negara.

Dalam satu nota penyelidikan, Kenanga IB berkata, indeks pengeluaran industri (IPI) negara meningkat sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2025 daripada 2.9 peratus pada Jun sekali gus menandakan pertumbuhan paling kukuh dalam tempoh tujuh bulan.

Ia berkata lonjakan itu dipacu oleh peningkatan pengeluaran pembuatan dan kebangkitan semula indeks perlombongan walaupun sebahagiannya diimbangi oleh pengeluaran elektrik yang lebih perlahan.

"Indeks pembuatan berkembang sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun daripada 3.6 peratus pada Jun, dipacu oleh pengeluaran elektrik dan elektronik yang kukuh (Julai: 8.5 peratus; Jun: 6.4 peratus).

"Indeks perlombongan naik dengan ketara kepada 4.3 peratus (Jun: -0.01 peratus), selepas tiga bulan berturut-turut mengalami penurunan, disokong oleh kebangkitan semula petroleum mentah dan kondensat (Julai: 1.0 peratus; Jun: -3.2 peratus), serta pengeluaran gas asli yang lebih kukuh (Julai: 6.8 peratus; Jun: 2.3 peratus)," katanya.

Mengenai prospek, Kenanga IB berkata kenaikan pada Julai menunjukkan permulaan yang kukuh untuk suku ketiga 2025, sebahagiannya disebabkan oleh persiapan awal menjelang pelaksanaan tarif Amerika Syarikat pada Ogos.

Pada masa yang sama, ia berkata indeks pengurus pembelian (IPP) sektor pembuatan terkini menunjukkan aktiviti pembuatan yang lebih baik (Ogos: 49.9; Julai: 49.7) iaitu yang tertinggi sejak Jun 2024, menandakan keadaan yang lebih stabil pada suku ketiga 2025.

Bank pelaburan itu berkata, ini seharusnya menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara keseluruhan dan membantu mengurangkan kemungkinan kelembapan yang dijangka berlaku pada suku terakhir tahun ini (suku keempat 2025: 4.0 peratus;  suku ketiga 2025: 4.3 peratus).

“Risiko masih wujud daripada sikap perdagangan Presiden AS, Trump terutama ketegangan perdagangan dengan China apabila beliau menggesa Kesatuan Eropah mengenakan tarif sehingga 100 peratus ke atas China dan India bagi menekan Rusia supaya menamatkan perang dengan Ukraine sekali gus menambah ketidaktentuan dalam prospek perdagangan global.

“Dalam situasi ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2025 pada kadar 4.3 peratus, berbanding 5.1 peratus pada tahun lepas, di tengah-tengah unjuran berhati-hati bagi suku keempat 2025,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangka permintaan domestik akan kekal kukuh dan terus menyokong pertumbuhan.

-- BERNAMA