Jangkaan Pengeluaran Rendah Dorong Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin berikutan pengeluaran yang dijangka lebih rendah dalam minggu-minggu akan datang, kata peniaga minyak sawit David Ng.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,400 satu tan dan paras rintangan pada RM4,580 satu tan,” kata Ng kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2025 naik RM28 kepada RM4,399 satu tan, Oktober 2025 meningkat RM33 kepada RM4,445 satu tan, manakala November 2025 menokok RM40 kepada RM4,448 satu tan.
Sementara itu, kontrak Disember 2025, Januari 2026 dan Februari 2026 masing-masing meningkat RM43 kepada RM4,518 satu tan, RM4,533 satu tan dan RM4,525 satu tan.
Jumlah dagangan bagaimanapun susut kepada 55,479 lot daripada 73,897 lot pada Khamis minggu lalu, manakala kepentingan terbuka turut berkurangan kepada 250,875 kontrak daripada 252,812 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk September Selatan meningkat RM30 kepada RM4,430 satu tan.
-- BERNAMA