BERITA TERKINI   PM Anwar zahir penghargaan kepada petugas kesihatan HKL atas khidmat, pengorbanan demi nyawa dan kebajikan rakyat | Lawatan dan perjumpaan keluarga dengan penghuni penjara sempena Aidiladha ditetapkan pada 29 dan 30 Mei - Jabatan Penjara | Kejayaan IWK rangkul pengiktirafan pada Anugerah Air Global 2026 cermin komitmen tinggi Malaysia dalam perkukuh pengurusan air dan sanitasi secara mampan - PM Anwar | Malaysia pastikan bekalan tenaga negara cukup sehingga Disember ini susulan krisis bekalan global - Fadillah | Kerajaan terus ambil langkah pragmatik, minimumkan kesan Krisis Bekalan Global terhadap rakyat - TPM Fadillah | 

KWSP Fokus Bina Semula Simpanan Pencarum Selepas RM145 Bilion Dikeluarkan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang berusaha membina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan menerusi empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pengeluaran tersebut melibatkan 8.2 juta pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.

“Oleh itu, tumpuan kini diberikan untuk mengukuhkan semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbi Muda yang ingin mengetahui sama ada pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi usia pencen mereka.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga tidak berhasrat memperkenalkan pengeluaran baharu memandangkan struktur akaun KWSP telah dirombak semula dengan mewujudkan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3 serta Akaun 3 bersifat fleksibel bagi pengeluaran untuk kecemasan.

Katanya KWSP juga sedang meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan untuk ahli baharu yang dijangka diluluskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang manakala pencarum sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada skim tersebut.

“Skim ini masih dalam penelitian dan akan diluluskan mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi. Pencarum sedia ada boleh memilih untuk berganjak kepada skim ini,” katanya.

-- BERNAMA