BERITA TERKINI   Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | Sukan SEA 2025: Gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menang pingat emas acara melombol lelaki | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas keenam menerusi atlet karate wanita negara C.Shahmalarani dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram | 

Ringgit Ditutup Tinggi Menjelang Data Tenaga Kerja AS Dikeluarkan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Rabu berikutan peniaga menantikan data pasaran tenaga kerja Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2230/2285 berbanding dolar AS daripada 4.2270/2350 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16 dan 17 September ini, selain acara seperti perarakan ketenteraan China, akan memberikan maklumat penting kepada peniaga dan pelabur.

Katanya mata wang dolar AS-ringgit berada dalam jajaran kecil antara RM4.2268 dan RM4.2345 manakala Indeks Dolar AS (DXY) naik sedikit kepada 98.444 mata.

“Mata wang serantau seperti baht Thailand rendah berbanding dolar AS berikutan politik dan dasar domestik menguasai sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8430/8469 daripada 2.8451/8507 pada Selasa dan meningkat berbanding pound kepada 5.6614/6687 daripada 5.6638/6745 semalam, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.9223/9287 daripada 4.9194/9287. 

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2777/2822 daripada 3.2808/2873 semasa ditutup semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 257.2/257.7 daripada 257.5/258.1 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0529/0759 daripada 13.0459/0762 semalam dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.38 daripada 7.35/7.37.

-- BERNAMA