BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Rianlon Corporation Mahu Labur RM820 Juta Bangunkan Pusat R&D Di Johor - PM Anwar

Daripada Voon Miaw Ping

TIANJIN (China), 1 Sept (Bernama) -- Syarikat konglomerat China terkemuka, Rianlon Corporation menyatakan komitmen untuk melabur sebanyak RM820 juta bagi membangunkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu dinyatakan syarikat berkenaan dalam pertemuan bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Li Haiping dan Ketua Pegawai Teknologi Sun Chunguang.

Beliau berkata pelaburan itu yang turut melibatkan pembangunan kilang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.

Rianlon Corporation yang beribu pejabat di Tianjin merupakan peneraju global dalam bahan tambahan antipenuaan untuk polimer dan kosmetik.

Selain Rianlon Corporation, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut bertemu dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) iaitu syarikat penyedia perkhidmatan infrastruktur terbesar global.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pengerusi CCCC Song Hailiang dan Naib Presidennya Chen Zhong.

“Bersama CCCC pula, saya meneliti perkembangan projek ECRL yang kini menjadi lambang persahabatan Malaysia-China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). 

“Insya-Allah, ECRL bakal merapatkan jurang pembangunan wilayah dan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” kata beliau ketika ditemui selepas pertemuan bersama kedua-dua konglomerat itu di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus merancakkan pelaburan, memberdaya sektor berteknologi tinggi dan memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–China yang berakar pada sejarah panjang, sekali gus membuka lembaran masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat.

Perdana Menteri kini berada dalam rangka lawatan kerja empat hari sejak semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 apabila beliau dijemput Presiden China Xi Jinping, selaku pengerusi semasa untuk menyampaikan ucapan pada SCO Plus Summit petang ini.

-- BERNAMA