BERITA TERKINI   Penetapan sempadan yang muktamad perkukuh kedudukan perundangan negara, tutup ruang tuntutan wilayah lebih besar masa hadapan - Arthur | Laporan media menyatakan Malaysia beri lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia tidak tepat - Arthur | Kerajaan sambut baik mekanisme aduan rasmi Majlis Media Malaysia urus etika kewartawanan - Fahmi | Rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan OBP antara Malaysia dan Indonesia dilaksanakan secara harmoni - Arthur | Isu sempadan: Pengukuran saintifik dilaksana berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia - Arthur | 

BNM Dijangka Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus - Moody's Analytics

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Moody’s Analytics menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menerusi mesyuarat dasar monetari Khamis ini.

Menerusi nota penyelidikan “Asia Pacific Weekly Highlights and Preview” pada Jumaat lepas, Moody’s Analytics menjelaskan bank pusat itu telah membuat pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas pada Julai sebagai langkah awal dalam menghadapi persekitaran luaran yang semakin tidak menentu.

“Sejak itu, angka pengeluaran industri dan eksport menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding jangkaan.

“Kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada September serta kadar inflasi utama yang rendah boleh mewujudkan ruang untuk BNM melonggarkan dasar monetari sekiranya keadaan luaran semakin buruk,” tambahnya.

Pada 9 Julai, BNM mengumumkan kadar siling dan lantai bagi koridor OPR masing-masing diturunkan kepada tiga peratus dan 2.5 peratus susulan pengurangan kadar tersebut.

Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023.

OPR kemudiannya dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.

-- BERNAMA