BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

IATA: Permintaan Kargo Udara Julai Melonjak 5.5 Peratus

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Jumlah permintaan untuk kargo udara, yang diukur dalam kargo tan kilometer (CTK), melonjak sebanyak 5.5 peratus dari tahun ke tahun (YOY) untuk Julai 2025 berbanding 0.6 peratus yang dicatatkan semasa bulan sebelumnya, mencerminkan pemulihan dalam pasaran kargo di tengah-tengah perang perdagangan.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melalui satu kenyataan berkata CTK menyaksikan kenaikan sebanyak 6.0 peratus dari tahun ke tahun, dengan kebanyakan kawasan serta laluan mencatatkan penambahan sebanyak satu angka, manakala Asia Pasifik menerajui pertumbuhan kargo udara antarabangsa dengan lonjakan 11 peratus dari tahun ke tahun.

.Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kebanyakan laluan perdagangan utama melaporkan pertumbuhan kecuali laluan Asia-Utara Amerika, yang mana permintaan turun 1.0 peratus dari tahun ke tahun.

“Penurunan dalam e-dagang berlaku selepas pengecualian AS ke atas penghantaran kecil berakhir, mungkin diimbangi oleh kenaikan tarif ke atas import yang masuk ke AS.

“Ogos mungkin akan menyerlahkan lagi impak perubahan dasar perdagangan AS. Walaupun banyak fokus diberikan kepada perkembangan dalam pasaran yang berkaitan dengan AS, adalah penting untuk mengekalkan perspektif yang meluas di rangkaian global.

Beliau berkata seperlima kargo udara bergerak dalam laluan perdagangan Eropah-Asia, yang telah mencatatkan pengembangan selama 29 bulan berturut-turut dengan pertumbuhan 13.5 peratus dari tahun ke tahun pada Julai.

IATA, yang mewakili kira-kira 350 syarikat penerbangan yang merangkumi lebih daripada 80 peratus trafik udara global berkata  jumlah kargo udara kekal kukuh di kebanyakan pasaran walaupun adanya gangguan atau penggunaan berisiko tinggi di ruang udara di Timur Tengah dan penguncupan berterusan dalam koridor transatlantik.

“Akibatnya, hasil kargo menyaksikan kejatuhan sebanyak 2.0 peratus. Bagaimanapun, pertumbuhan mantap yang dibentangkan pada Julai lepas ke atas laluan-laluan kargo lain membolehkan pasaran mencapai peningkatan 0.8 mata peratusan berbanding bulan sebelum ini” katanya.

-- BERNAMA