BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

CelcomDigi Labur RM4.6 Bilion CAPEX Pada Separuh Pertama 2025 - CEO

PETALING JAYA, 26 Ogos (Bernama) -- CelcomDigi Bhd melabur sejumlah RM4.6 bilion dalam perbelanjaan modal (capex) setakat separuh pertama tahun ini, daripada komitmen pelaburan keseluruhan RM10 bilion bagi tempoh lima tahun pertama selepas penggabungan syarikat, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Idham Nawawi.

Beliau berkata jumlah pelaburan capex itu merangkumi pelaksanaan latihan integrasi dan pemodenan rangkaian yang telah berlangsung sepanjang dua setengah tahun lepas sejak penggabungan Celcom dan Digi.

Hasil daripada pelaburan ini telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekosistem digital dan telekomunikasi negara, menerusi pembinaan 18,000 tapak rangkaian, 10,000 pengedar serta hampir 400 kedai berjenama di seluruh negara, kata beliau.

“Kami akan mengintegrasikan kesemua sistem teknologi maklumat (IT) kami. Setakat ini, 84 peratus rangkaian telah dipermodenkan dan kami sedang melaksanakan proses penyatuan serta integrasi sistem IT,” katanya kepada media selepas pelancaran inisiatif utama CelcomDigi, CD:NXT di hab CelcomDigi di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Idham berkata CD:NXT adalah inisiatif jangka panjang syarikat itu bagi tempoh lapan hingga 10 untuk melahirkan lebih 5,000 bakat muda digital dengan matlamat memberi landasan kepada anak muda Malaysia untuk menjadi pemimpin digital yang berkemampuan.

"Apa yang kami tawarkan bukan sekadar latihan kecerdasan buatan (AI) yang biasa, atau sesuatu yang dapat dipelajari daripada buku mahupun di bilik darjah, tetapi pengalaman dan pendedahan praktikal dalam satu industri yang amat dinamik.

"Kami anggarkan inisiatif ini bernilai lebih daripada RM100 juta, dengan kesan pengganda ekonomi (economic multiplier effect) yang jauh lebih besar dan lebih bermakna kepada ekonomi digital negara," katanya. 

-- BERNAMA