Kerjasama Gentari, Gamuda Energy Bangunkan Projek Tenaga Solar 1.5 GW

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Gentari Sdn Bhd, melalui unitnya Gentari Renewables Sdn Bhd, menjalinkan kerjasama dengan Gamuda Energy Sdn Bhd untuk membangunkan kapasiti tenaga boleh baharu kira-kira 1.5 gigawatt (GW) melalui loji kuasa solar fotovoltan yang digabungkan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri.

Kapasiti baharu itu, dibangunkan mengikut kerangka Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) kebangsaan, bertujuan memenuhi pemintaan tenaga daripada peserta pusat data (DC) hiperskala strategik.

“Kerjasama ini menggabungkan kepakaran Gentari dalam pembangunan dan operasi tenaga boleh baharu berskala besar dengan bukti rekod prestasi serantau Gamuda dalam kejuruteraan, pembinaan, dan pelaksanaan projek infrastruktur kompleks, termasuk tenaga boleh baharu,” menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat itu.

Gabungan kelebihan itu akan membantu memajukan peralihan tenaga boleh baharu Malaysia serta mengukuhkan peranan negara sebagai hab ekonomi digital serantau, tambahnya.

Kedua-dua pihak menjelaskan DC hiperskala, sebagai kemudahan penting untuk pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan perkhidmatan digital, dijangka memerlukan tenaga boleh dipercayai melebihi 5 GW menjelang 2035.

“Ini menekankan keperluan mendesak untuk memperluas kapasiti tenaga boleh baharu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat -- kedua-dua pihak komited untuk memenuhi keperluan itu,” menurutnya.

Ketua Pegawai Boleh Baharu Gentari Low Kian Min berkata ekonomi digital Malaysia sedang berkembang pesat, yang membawa kepada peningkatan permintaan terhadap tenaga yang boleh dipercayai dan mampan.

“Meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu bukan sahaja penting untuk memenuhi permintaan ini malah juga menjadi faktor utama kepada pemacuan pertumbuhan jangka panjang.

“Kami komited untuk bekerjasama dengan rakan seperti Gamuda dalam melaksanakan projek tenaga bersih yang praktikal dan boleh skala bagi menyokong aspirasi negara ke arah pelepasan sifar bersih serta menyumbang kepada peralihan tenaga global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Gamuda Energy Joshua Kong Sing Hoe berkata kerjasama itu menjadi model untuk kolaborasi masa hadapan dalam menjana pembangunan mampan merentas pelbagai industri dalam menyokong aspirasi sifar bersih negara.

“Berasaskan kelebihan dan kebolehan menjana pendapatan, kami dapat menyokong rakan pusat data kami dengan saluran tenaga boleh baharu yang khusus,  mampan dan boleh skala untuk memastikan kemudahan pusat data penting ini dapat beroperasi dengan jejak karbon yang lebih rendah,” tambahnya.

-- BERNAMA