BERITA TERKINI   STAM 2025: 2,816 calon berjaya lepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM - KPM | Johor tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM8, RM10 dan RM20 - Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor | Nilai transaksi perbelanjaan SARA di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion - Amir Hamzah | Sebanyak RM150 juta baki peruntukan bantuan Program SARA (MyKasih) tidak dibelanjakan penerima sehingga 31 Dis 2025 - Amir Hamzah | Seorang lelaki maut dan tujuh lagi cedera dalam kemalangan di KM 433 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Rawang awal pagi tadi - Bomba Selangor | 

Indeks Pelopor Malaysia Susut 0.2 Peratus Pada Jun 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kadar pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor (IP) Malaysia mencatatkan penurunan marginal 0.2 peratus pada Jun 2025, mencatatkan 113.4 mata berbanding 113.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP memberi petunjuk awal mengenai titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan ini mencerminkan penyusutan dalam empat daripada tujuh komponen, dengan penurunan paling ketara sebanyak -27.4 peratus dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain.

“Dari segi perbandingan bulanan, IP turut menyusut 0.5 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-1.0 peratus) dan import benar semi konduktor (-0.5 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut DOSM, meneliti arah aliran jangka panjang terlicin pada Jun 2025, IP kekal berada di bawah 100.0 mata, yang menjangkakan momentum ekonomi yang mereda.

“Prospek ini disokong oleh asas domestik yang kukuh namun dipengaruhi oleh cabaran luaran,” kata DOSM.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan prestasi ekonomi semasa meningkat 1.7 peratus kepada 128.2 mata pada Jun 2025 berbanding 126.1 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini dipacu oleh pengukuhan kesemua komponen, dengan nilai caruman benar Kumpulan Wangn Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 6.1 peratus.

“Secara bulanan, IS bertambah 0.4 peratus, disokong oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian yang meningkat 0.3 peratus,” katanya.

-- BERNAMA