BERITA TERKINI   Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat apabila Malaysia berada pada asas lebih kukuh, dengan KDNK di landasan untuk berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif -- pertumbuhan berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti - PM Anwar | 

ASEAN Perlu Wujudkan Ekosistem Pelaburan Kondusif, Sokong Pelaburan Syarikat Negara Anggota

JAKARTA, 5 Feb (Bernama) -- Negara-negara anggota ASEAN perlu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif termasuk layanan yang setara bagi menyokong pelaburan syarikat dari negara anggota lain, sekali gus memastikan rantaian bekalan serantau yang lebih bersepadu.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara ini antara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Airlangga Hartarto semasa menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IES) 2026 di sini.

Katanya pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan integrasi rantaian bekalan ASEAN, malah menggalakkan lebih banyak pelaburan dan peluang perniagaan di rantau ini.

“Kami bertukar-tukar pandangan mengenai cara syarikat Malaysia dapat melabur dan berkembang di pasaran seperti Indonesia dan pada masa yang sama, menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan ASEAN yang lebih bersepadu.

“Sebagai contoh, apabila syarikat Malaysia melabur di Indonesia, mereka perlu diberikan akses dan layanan yang setara termasuk dari segi kastam dan kemudahan perdagangan supaya mereka boleh menyokong rantaian bekalan serantau,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.

Terdahulu, Tengku Zafrul dijemput sebagai ahli panel untuk sesi perbincangan di IES bertajuk, The Trends Shaping ASEAN Economic Evolution and Its Global Positioning, pada Selasa lepas.

Selain perbincangan dasar, beliau berkata pertemuan bersama Airlangga juga menjadi ruang untuk berkongsi idea baharu dan bertukar-tukar pandangan secara terbuka mengenai langkah ASEAN dapat mengejar kemajuan bersama dan bukan bergerak secara bersendirian.

Beliau berkata ASEAN merupakan rantau yang penuh potensi, namun potensi tidak akan menjadi hasil sekiranya tidak dilaksanakan dengan betul.

“Dalam dunia yang bergolak, kekuatan ASEAN bukan pada jumlah sidang atau kenyataan bersama yang dikeluarkan tetapi pada tindakan yang konsisten bagi mewujudkan pertumbuhan kukuh dan mampan untuk rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA