BERITA TERKINI   Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | Op Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan polis bermula 17 hingga 21 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Akta Perkhidmatan Pos 2012 akan dipinda, pastikan ekosistem lebih lestari, jamin kebajikan pekerja - Fahmi | Dana Perkhidmatan Pos inisiatif strategik, sokong transformasi sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing - Fahmi | 

Hubungan India-Malaysia Tawar Potensi Besar Dalam Sektor Digital Dan Hijau - CIIM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan India berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang besar dalam tenaga boleh baharu, infrastruktur, semikonduktor dan ekonomi digital apabila kedua-dua negara memperkukuh kerjasama ekonomi mereka, menurut Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM).

Bercakap pada majlis makan malam gala dan ulang tahun ke-20 CIIM diadakan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan India ke-79 di sini baru-baru ini, Presiden CIIM Datuk Umang Sharma berkata kemajuan pesat India sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dan peranan Malaysia sebagai hab serantau yang berdaya saing memberikan asas kukuh untuk menjalin kerjasama.

“Peluangnya amat besar. Bidang seperti tenaga boleh baharu, infrastruktur, transformasi digital dan pembuatan maju — terutamanya dalam sektor semikonduktor dan ekonomi digital — menawarkan ruang yang baik untuk kerjasama,” katanya.

CIIM, yang mewakili lebih 250 syarikat India di Malaysia dengan pelaburan melebihi US$3 bilion dan mewujudkan lebih 30,000 pekerjaan, ditubuhkan pada 2005 sebagai sebuah platform bersepadu untuk perniagaan India yang beroperasi di negara ini.

Sharma berkata CIIM akan menganjurkan dua inisiatif utama — seminar pada September 2025 mengenai “Meninjau Peluang dalam Rancangan Malaysia Ke-13” dan sidang kemuncak kepimpinan pada suku pertama 2026, bakal menghimpunkan tokoh perniagaan, kerajaan dan industri dalam pelbagai bidang.

“Platform ini akan membolehkan syarikat India terlibat dalam pelan hala tuju pertumbuhan Malaysia, terutamanya dalam sektor berpotensi tinggi seperti semikonduktor dan teknologi digital,” katanya.

Majlis makan malam gala yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Tunku Ali Redhauddin, turut memberi pengiktirafan kepada hubungan India-Malaysia dan peranan CIIM dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

-- BERNAMA