BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

TIV Automotif Malaysia Meningkat 28 Peratus Pada Julai - MAA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Jumlah jualan atau keseluruhan industri (TIV) sektor automotif Malaysia melonjak sebanyak 28 peratus kepada 70,057 unit pada Julai berbanding 54,863 unit pada Jun 2025, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam kenyataan hari ini berkata TIV yang lebih tinggi ini disumbangkan oleh bulan kerja penuh selama 23 hari bekerja berbanding Jun 2025 (19 hari bekerja) serta asas pengeluaran yang rendah pada Jun 2025 berikutan penutupan operasi sempena Hari Raya Aidiladha.

Bagaimanapun MAA berkata jumlah TIV setakat ini pada tahun ini 5.0 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2024.

“Berasaskan tahun ke tahun, TIV bagi Julai 2025 adalah 5.0 peratus lebih rendah daripada 73,501 unit yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, dengan penjualan 64,438 kenderaan penumpang dan 5,619 kenderaan komersial.

"Dari segi pengeluaran, sejumlah 71,439 unit dikeluarkan pada Julai 2025, meningkat 1.0 peratus daripada tahun sebelumnya yang terdiri daripada 67,075 kenderaan penumpang dan 4,364 kenderaan komersial," kata MAA.

Mengenai prospek industri, MAA menjangkakan momentum jualan pada Julai 2025 akan berterusan pada Ogos 2025.

Menurutnya prestasi pada Ogos akan dipacu oleh peningkatan ketersediaan stok dengan sokongan volum pengeluaran yang tinggi pada Julai sebanyak 71,439 unit, promosi giat sempena sambutan bulan kemerdekaan dan impak jualan daripada pelancaran model baharu.

-- BERNAMA