BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Seiring Prestasi Bercampur-campur Pasaran Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah pada Isnin, didorong oleh prestasi bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran dipengaruhi oleh ketidaktentuan yang berterusan melibatkan prospek ekonomi Amerika Syarikat dan krisis di Timur Tengah yang semakin meningkat.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh peningkatan harga minyak mentah di tengah-tengah keyakinan terhadap dialog antara AS-Rusia mengenai gencatan senjata di Ukraine,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, agensi meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat yang mungkin mengakibatkan banjir kilat dan limpahan daripada 17-18 Ogos dan 22-23 Ogos. 

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 susut 7.5 sen kepada 729 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot 3.5 sen kepada 568.50 sen sekilogram. 

-- BERNAMA