BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Mastercard, ASEAN-BAC Anjur Sidang Kemuncak Pertumbuhan Pertama

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- The Mastercard Center for Inclusive Growth bekerjasama dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif Mastercard ASEAN yang pertama pada akhir Oktober ini.

Dalam satu kenyataan bersama, pusat itu berkata sidang kemuncak berkenaan merupakan yang pertama daripada tiga acara yang dijadual berlangsung di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kerjasama penting ini mengukuhkan komitmen Mastercard terhadap pertumbuhan ekonomi, menyokong pengguna dan perusahaan kecil di rantau Asia Pasifik.

"Ia juga menunjukkan keselarasan syarikat dengan fokus Majlis Penasihat Perniagaan terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif di rantau ini, dalam persekitaran landskap ekonomi global yang sentiasa berubah," katanya.

Ia berkata sidang kemuncak itu diadakan susulan kejayaan Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif Global dan bermatlamat merangsang pertumbuhan ekonomi mampan dan memajukan kemakmuran ASEAN dengan memperlihatkan bagaimana barisan pemimpin perniagaan serantau berganding bahu mencipta peluang untuk semua pihak.  

Selain itu, acara berkenaan bertujuan mendorong pertukaran idea antara pemimpin dari Timur dan Barat, sekali gus membuka ruang kepada inovasi, kerjasama, perkongsian serta hasil yang memberi manfaat kepada rantau ini.

Naib Pengerusi dan Presiden Pertumbuhan Strategik Mastercard Jon Huntsman berkata Asia Tenggara kini berada di fasa penting yang memerlukan pertumbuhan digandingkan bersama dengan aspek keselamatan, keterangkuman dan akses.

“Ketika rantau ini berdepan cabaran daripada ekonomi yang tidak seragam hingga gangguan digital, kerjasama dengan ASEAN-BAC ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu individu dan perniagaan membuka peluang ekonomi agar semua pihak dapat meraih manfaat daripada ekonomi digital,” katanya.

-- BERNAMA