BERITA TERKINI   Gangguan bekalan stesen penjana di Melaka punca beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru putus bekalan elektrik - TNB | Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | 

DOPPA Sambut Baik Peruntukan RM1.4 Bilion Untuk Penanaman Semula Sawit

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) berkata peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM1.4 bilion untuk penanaman semula pokok sawit di bawah Rancangan Malaysia ke -13 (RMK13) adalah langkah yang tepat bagi meremajakan ladang-ladang yang sudah tua terutamanya kepada pekebun-pekebun kecil bebas di negeri ini.

Persatuan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata komitmen oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi mencerminkan dedikasi kerajaan untuk mengekalkan serta meningkatkan industri minyak sawit negara. 

DOPPA yang memetik data 2023 dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB memberitahu Sarawak mempunyai 256,738 hektar ladang kelapa sawit yang diuruskan oleh 46,584 pekebun kecil bebas, kawasan ditanam terbesar di Malaysia. 

“Adalah wajar agar Sarawak diberi keutamaan dari segi peruntukan khas dan usaha penanaman semula yang disasarkan,” katanya, sambil menambah bahawa kadar penanaman semula semasa pada kadar hanya dua peratus boleh menjejaskan rantaian bekalan tempatan dan global jika tidak ditangani.

DOPPA menggesa kementerian untuk memudahkan proses permohonan serta kelulusan, dengan menyatakan bahawa lebih daripada 70 peratus pekebun kecil bebas di negeri ini tidak beroperasi pada produktiviti penuh disebabkan penuaan pokok.

“Pengesahan status tanah yang perlahan tetap menjadi penghalang utama dalam melepaskan insentif dan pinjaman yang dibuat melalui Agrobank,” katanya, yang turut mencadangkan supaya Jabatan Pertanian Sarawak dan MPOB Sarawak digunakan sebagai saluran bagi pelaksanaan insentif skim penanaman semula untuk mempercepatkan proses tersebut.

Dengan peruntukan itu, DOPPA mencadangkan satu pendekatan yang praktikal untuk menanam semula kira-kira 77,000 hektar di bawah pelan berkenaan, yang mewakili 9.3 peratus daripada 824,404 hektar kebun kelapa sawit milik pekebun kecil di seluruh negara. 

Persatuan itu juga mencadangkan agar insentif diberikan kepada pekebun kecil bebas yang melaksanakan penanaman semula atas inisiatif mereka sendiri dan meminta MPOB mengesahkan usaha mereka ini.

“Dengan menggalakkan usaha sendiri dalam penanaman semula, kerajaan dapat mempercepatkan proses dan mencapai objektif tanpa pembaziran,” katanya.

-- BERNAMA