BERITA TERKINI   Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei raih gelaran Masters Indonesia 2026 | Masters Indonesia: Beregu wanita utama negara Pearly-Thinaah muncul juara selepas Igarashi-Takahashi tarik diri dari final - BAM | APG 2025: Malaysia capai sasaran 181 pingat menerusi sukan tenis kerusi roda | Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sasar 30,000 lantikan penjawat awam tahun ini - Pengerusi | Ahmad Zahid harap parti teras BN terus bersama dan diperkukuh termasuk MIC | 

IPP Kukuh Daripada Jangkaan, Isyarat Pertumbuhan Kdnk Suku Kedua Yang Jitu -- RHB IB

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi Jun 2025 yang lebih kukuh daripada jangkaan menunjukkan pertumbuhan jitu dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua iaitu sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Kata bank pelaburan itu, potensi pertumbuhannya dijangka meningkat kepada 4.6 peratus.

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini mendedahkan IPP Malaysia meningkat sebanyak tiga peratus tahun ke tahun pada Jun 2025 daripada 0.3 peratus tahun ke tahun pada Mei 2025, dipacu terutamanya oleh momentum pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektrik.

“Ini lebih tinggi daripada unjuran dalaman kami iaitu -0.5 peratus tahun ke tahun dan anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 0.5 peratus tahun ke tahun,” kata RHB IB dalam satu kenyataan hari ini.

Bank Negara Malaysia dan DOSM dijadualkan mengumumkan keputusan KDNK suku kedua pada 15 Ogos, 2025.

Melangkah ke hadapan, RHB IB mengunjurkan prospek pengeluaran perindustrian Malaysia dalam jangka masa terdekat dan panjang akan disokong oleh kejelasan yang lebih tinggi mengenai tarif timbal balik dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Kejelasan yang lebih tinggi mengenai tarif timbal balik seperti Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif yang dikurangkan kepada 19 peratus ke atas Malaysia daripada 25 peratus yang diumumkan sebelum ini akan membantu meningkatkan sentimen pasaran.

"Ia secara beransur-ansur meningkatkan keyakinan industri terhadap pertumbuhan yang dipacu oleh faktor luaran,” katanya.

Bagi jangka masa panjang, katanya, RMK13 yang menggariskan keperluan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM611 bilion bagi tempoh 2026–2030 selain unjuran pertumbuhan tahunan KDNK sebanyak 4.5 – 5.5 peratus bagi tempoh lima tahun akan datang, menunjukkan sektor pembuatan Malaysia akan terus menjadi tonggak utama pertumbuhan.

Namun begitu, RHB IB berkata halangan perdagangan terus membayangi unjuran Malaysia dengan tarif global yang diperbaharui terutamanya cadangan tarif 100 peratus oleh AS ke atas semikonduktor sekali gus menimbulkan risiko kepada sektor yang bergantung kepada eksport.

-- BERNAMA