BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naikĀ kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

IPP Malaysia Naik Dengan Ketara 3.0 Peratus Pada Jun 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat dengan ketara sebanyak 3.0 peratus pada Mei 2025 didorong oleh momentum pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektrik, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu berikutan pertumbuhan output yang menggalakkan dalam pembuatan, yang berkembang sebanyak 3.6 peratus (Mei 2025: 2.8 peratus) terutamanya disumbangkan oleh industri berorientasikan domestik, dan sektor elektrik yang meningkat 4.1 peratus (Mei 2025: -0.1 peratus)

Bagaimanapun, pengeluaran perlombongan kekal dalam jajaran negatif berada pada - 0.01 peratus berbanding -10.2 peratus pada Mei 2025. Ia kembali pulih dengan ketara pada Jun 2025 susulan lonjakan dalam pengeluaran gas asli iaitu 2.3 peratus.

Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik melonjak 5.1 peratus pada Jun 2025 berbanding peningkatan 2.6 peratus pada Mei 2025. 

Pertumbuhan pesat itu disokong oleh peningkatan dua digit sebanyak 11.3 peratus dalam pembuatan produk makanan, disusuli dengan kenaikan pengeluaran pembuatan logam asas (6.7 peratus), kenderaan bermotor, treler dan semi treler, yang naik sebanyak 3.4 peratus pada Jun 2025.

Sementara itu, industri berorientasikan eksport merekodkan pertumbuhan malar pada 2.9 peratus, diikuti peningkatan sama yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Pertumbuhan malar ini terutamanya disebabkan oleh penurunan 5.9 peratus dalam pembuatan komputer, elektronik dan produk optikal.

DOSM turut menggariskan pertumbuhan IPP seperti berikut, iaitu Taiwan pada 18.6 peratus, Vietnam pada 10.8 peratus, Singapura pada lapan peratus, China pada 6.8 peratus, Jepun pada empat peratus dan Korea Selatan pada 1.6 peratus.

Amerika Syarikat pula merekodkan pertumbuhan IPP 0.7 peratus dan Thailand pada 0.6 peratus pada Jun 2025.

-- BERNAMA