BERITA TERKINI   Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | Krisis tenaga global: KTMB tawar diskaun 30 peratus tiket ETS bagi semua sektor dan tren Ekspres Rakyat Timuran laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral -- Loke   | Keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan. Ia menjadi keutamaan strategik negara susulan situasi di Selat Hormuz - Fadillah Yusof | 

Tarif 19 Peratus AS Tidak Jejas Daya Saing Komoditi Negara - Johari

JOHOR BAHRU, 2 Ogos (Bernama) -- Kadar tarif 19 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia tidak akan menjejaskan daya saing komoditi negara di pasaran antarabangsa, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata kadar itu juga masih kompetitif berbanding negara-negara ASEAN, termasuk Indonesia yang dikenakan tarif sama walaupun merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

“Kalau tengok kelapa sawit, Indonesia (pengeluar) nombor satu dunia dan kita nombor dua. Indonesia pun kena tarif 19 peratus, sama seperti kita, kira okey dan ini maknanya adil,” katanya ketika diminta mengulas sama ada tarif dikenakan AS itu boleh menjejaskan pasaran komoditi negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang pada pagi ini.

AS telah mengenakan kadar tarif pada kadar dikurangkan kepada 19 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2025.

Kadar tarif balas yang disemak semula itu adalah lebih rendah daripada kadar awal sebanyak 25 peratus.

Tarif yang berkuat kuasa selepas jam 12:01 pagi pada 1 Ogos, menyaksikan barangan sedang dalam transit diberikan tempoh penangguhan selama tujuh hari untuk mengurangkan kesan serta-merta terhadap rantaian bekalan.

-- BERNAMA