BERITA TERKINI   Sabah terima peruntukan pembangunan luar bandar tertinggi dalam Belanjawan 2026, bukti komitmen Kerajaan Persekutuan - Ahmad Zahid | Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | 

Sasaran KDNK RMK13, Defisit Fiskal Malaysia Boleh Dicapai - CGS

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS) percaya purata sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.5–5.5 peratus di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), seiring dengan sasaran defisit fiskal sebanyak tiga peratus daripada KDNK menjelang 2030, boleh dicapai.

Dalam satu nota yang dikeluarkan hari ini, CGS berkata ia mengambil kira purata pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 4.6 peratus selepas Krisis Kewangan Global (2010-2024), atau 5.3 peratus, dengan pengecualian tahun pandemik pada 2020.

Katanya, ia turut sejajar dengan sasaran defisit fiskal dengan matlamat jangka sederhana yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.

“Walaupun kadar penyatuan defisit fiskal di bawah RMK13 kelihatan lebih beransur-ansur berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya (2021-2024: -6.4 peratus hingga -4.1 peratus), kami rasa ia munasabah, memandangkan keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah cabaran berkaitan tarif.

“Kami berpandangan dengan pendekatan semasa, seperti skop cukai jualan dan perkhidmatan yang diperluaskan serta rasionalisasi subsidi diesel (dan akhirnya RON95), boleh membantu mengimbangi tekanan defisit fiskal di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan - menekankan kepentingan agenda reformasi kerajaan MADANI,” tambahnya.

Sementara itu, dalam nota berasingan, CGS berkata RMK13 mencapai keseimbangan yang tepat antara keutamaan pelbagai pemain ekonomi sambil menyediakan kejelasan yang mencukupi untuk pelabur menilai prospek jangka sederhana Malaysia.

Katanya, RMK13 membuka jalan kepada hala tuju baharu bagi belanjawan persekutuan akan datang, dan Belanjawan 2026 akan dibentangkan pada Oktober, untuk mencerminkan elemen pelan itu, termasuk potensi pertumbuhan yang lebih perlahan dalam perbelanjaan pembangunan dan tumpuan yang lebih besar kepada sektor keutamaan yang baharu dikenal pasti. 

“Secara keseluruhan, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi KDNK 2025 sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun,” katanya.

-- BERNAMA