BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Sabah FC 0-3 Melaka FC | Pelancaran bantuan untuk pengguna buat keputusan, bantu individu rancang kewangan penjagaan kesihatan - JBMKKS | Hospital swasta layak mohon insentif cukai tubuhkan dana kebajikan bagi galakkan dan biayai perkhidmatan penjagaan kesihatan amal kepada pesakit kurang bernasib baik - JBMKKS | Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) sokong inisiatif utama perluas akses dan pilihan penjagaan kesihatan | 

Malaysia Airports Perkukuh Akses China Ke KLIA, Tawau Sokong Tahun Melawat Malaysia 2026

KUALA LUMPUR, 22 Jan  (Bernama) -- Malaysia Airports terus memperluas akses udara antarabangsa menerusi perkhidmatan penerbangan baharu yang menghubungkan bandar-bandar utama di China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Tawau, selaras dengan usaha menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata Shandong Airlines telah melancarkan penerbangan harian Jinan–Kuala Lumpur dengan penerbangan pertama SC8077, yang tiba di KLIA awal minggu ini.

“Laluan baharu ini menyediakan penumpang dari wilayah Shandong dan kawasan sekitarnya akses terus ke pintu masuk utama Malaysia, di samping memudahkan pengembara dari Malaysia untuk meneroka warisan budaya wilayah Qilu,” katanya.

Dengan memanfaatkan operasi dua hab Shandong Airlines di Jinan dan Qingdao, Malaysia Airports berkata penumpang juga dapat menikmati kesalinghubungan susulan yang lancar ke seluruh China, sekali gus menyokong pertumbuhan perjalanan dua hala serta memperkukuh pelancongan dan pertukaran ekonomi.

Sementara itu, di Malaysia Timur, katanya Lapangan Terbang Tawau mencatat satu lagi pencapaian dengan ketibaan penerbangan berjadual pertama Juneyao Air dari Shanghai Pudong, yang dikendalikan menggunakan pesawat A320neo dengan nombor penerbangan HO1361.

Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan tiga penerbangan seminggu sehingga 24 Okt, 2026.

“Dengan penambahan ini, Lapangan Terbang Tawau kini menampung tujuh syarikat penerbangan, menawarkan sambungan terus ke 10 destinasi di empat negara serta mengendalikan purata 39 penerbangan sehari,” katanya.

Ia berkata penawaran penerbangan baharu ini mencerminkan keyakinan berterusan syarikat penerbangan terhadap ekosistem penerbangan Malaysia.

Selain itu, ia turut menyokong strategi lebih luas Malaysia Airports untuk memperkukuh kesalinghubungan antarabangsa, mempelbagaikan akses pasaran serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara denngan rangkaian kesalinghubungan paling meluas menjelang 2030.

-- BERNAMA