BERITA TERKINI   Kerajaan Perak umum BKK Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri, dibayar 16 Mac - MB | Pemberian BKK dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 - JPA | Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan dibayar pada 13 Mac - JPA | PM Anwar seru agar wujud kematangan dalam urusan politik antarabangsa | Kementerian Luar pamer prestasi membanggakan, kunjungan ke luar negara beri manfaat kepada negara - PM Anwar | 

RMK13 Pemangkin Negara Capai Aspirasi Ekonomi MADANI - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini merupakan pemangkin untuk negara mencapai aspirasi Ekonomi MADANI.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata RMK13 memperlihatkan landasan yang tepat untuk Malaysia menjadi sebuah negara membangun dengan rakyat akan turut dapat merasai nikmat pembangunan tersebut. 

“Teras yang kita ada dalam Ekonomi Madani adalah untuk melakarkan semula pembangunan demi meningkatkan martabat rakyat.

 “Apa yang kita nak ialah, apa yang kita buatkan (melalui RMK13) akan sampai dan dirasai oleh rakyat, dan saya rasa itu telah nampak dalam apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas Pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata pembentangan RMK13 merangkumi banyak perkara yang perlu ditekankan dalam membangunkan semula ekonomi dan perinciannya akan di bahaskan di Dewan Rakyat kelak.

Berikutan aspirasi negara yang besar, beliau berkata kerajaan harus berani untuk melonjak dan mengambil pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan.

“Kerana itulah dari segi pendekatan, kita mengambil pendekatan untuk merencamkan ekonomi, untuk membesarkan ekonomi dan mencari jalan di mana kita meningkatkan peluang yang ada dalam negara agar peluang itu diterjemahkan kepada peluang untuk rakyat mendapat pekerjaan yang lebih baik di masa hadapan.

“Jadi saya rasa apa yang penting adalah kita dapat hadamkan perincian daripada RMK13 ini yang akan dibahaskan pada masa akan datang,” katanya.

RMK13 merupakan perancangan yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan mampan berteraskan penciptaan nilai merentasi semua sektor melibatkan pelaburan berjumlah RM611 bilion sepanjang lima tahun bermula 2026 dengan RM430 bilion daripada jumlah tersebut adalah peruntukan pembangunan daripada kerajaan.

Perdana Menteri berkata RMK13 turut menumpukan kepada kecerdasan buatan (AI) dan penekanan terhadap inisiatif  “Buatan Malaysia” bagi menempatkan negara sebagai sebuah negara berdaya saing dan berpendapatan tinggi di peringkat global.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pelan pembangunan itu merupakan kesinambungan kepada dasar Ekonomi MADANI bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara seumpama menaikkan siling, meningkatkan darjat hidup rakyat dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan ke arah tatakelola terbaik.

-- BERNAMA