Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Sentimen Berhati-hati
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari kerana pelabur kekal berhati-hati untuk meneliti data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) dalam persekitaran sentimen serantau yang bercampur-campur.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 5.21 mata kepada 1,518.61 berbanding 1,523.82 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 0.28 mata lebih tinggi kepada 1,524.10, bergerak antara 1,516.96 dan 1,524.10 pada sesi dagangan pagi.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 538 berbanding 231, manakala 479 kaunter tidak berubah, 1,283 tidak diniagakan dan 90 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.55 bilion unit bernilai RM2.18 bilion.
Hong Leong Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata sentimen pasaran mungkin kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat dengan FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,510 hingga 1,550 minggu ini.
“Bagaimanapun, risiko penurunan mungkin dapat menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 dijadual dibentang di Dewan Rakyat esok (31 Julai). Rangka kerja strategik, melakar hala tuju ekonomi Malaysia dari 2026 hingga 2030 akan menjadi kritikal ketika negara mengharungi landskap global yang semakin kompleks dan berdaya saing,” katanya.
Di peringkat serantau, Bursa Malaysia mencerminkan keadaan tidak menentu di seluruh pasaran Asia. Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.43 peratus kepada 25,415.94, manakala Indeks Straits Times Singapura susut 0.36 peratus kepada 4,214.08, bagaimanapun Nikkei 225 Jepun naik 0.05 peratus untuk ditutup pada 40,696.47 dan Kospi Korea Selatan meningkat 1.10 peratus kepada 3,265.96.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM9.46, Tenaga Nasional jatuh lapan sen kepada RM13.24, CIMB merosot sembilan sen kepada RM6.55, manakala IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM6.61, Public Bank tidak berubah pada RM4.21.
Bagi kaunter aktif, NexG tidak berubah pada 53 sen, Pharmaniaga merosot dua sen kepada 16 sen, SFP Tech berkurangan 2.5 sen kepada 16 sen, Tanco susut sembilan sen kepada 83.5 sen dan Harvest Miracle Capital menguncup 0.5 sen kepada 17 sen.
Antara kaunter paling untung, Chin Teck Plantations yang meningkat 28 sen kepada RM9.77, Ireka Corporation melonjak 21.5 sen kepada 28.5 sen dan Kuala Lumpur Kepong menambah 20 sen kepada RM19.72.
Bagi kaunter paling rugi, Allianz Malaysia serta Fraser and Neave jatuh 30 sen masing-masing kepada RM17.40 dan RM28.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 40.03 mata kepada 11,400.10, Indeks FBMT 100 turun 37.78 mata kepada 11,163.75, Indeks FBM ACE merosot 51.41 mata kepada 4,575.21, Indeks FBM Emas Shariah turun 23.67 mata kepada 11,454.42 manakala Indeks FBM 70 berkurangan 53.39 mata kepada 16,474.82.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.83 mata kepada 160.21, Indeks Perladangan meningkat 12.73 mata kepada 7,407.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 98.60 mata kepada 17,210.74, Indeks Perladangan menambah 4.35 mata kepada 7,158.93 manakala Indeks Tenaga susut 2.53 mata kepada 741.19.
Sementara itu, dagangan dalam sekuriti Alpha Ocean Resources Bhd dihentikan pada pukul 11.39 pagi dan dijadualkan disambung semula pukul 2.30 petang.
-- BERNAMA