Saham Bursa Malaysia Susut Dalam Dagangan Awal Berikutan Prestasi Suku Kedua Rendah

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Saham Bursa Malaysia Bhd merosot dalam dagangan awal berikutan prestasi perniagaan yang rendah dicatatkan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (suku kedua 2025).

Pada 10.09 pagi, kaunter tersebut berkurangan tiga sen kepada RM7.63 dengan 103,300 saham diniagakan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, katanya keuntungan bersih pada suku kedua 2025 merosot kepada RM57.06 juta daripada RM80.45 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas sebahagian besarnya disebabkan perolehan operasi yang rendah.

Perolehan turut susut kepada RM172.58 juta daripada RM199.94 juta sebelum ini.

“Pasaran sekuriti mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM85.3 juta pada suku kedua 2025, menurun 24.4 peratus daripada RM112.8 juta pada suku kedua 2024 berikutan perolehan operasi yang lebih rendah sebanyak RM110.3 juta daripada RM141.4 juta,” katanya. 

Menurut CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, bursa optimis secara berhati-hati mengenai prospeknya, dengan jangkaan sentimen pasaran dan aktiviti dagangan yang lebih baik pada separuh kedua 2025.

“Bursa Malaysia melihat separuh kedua 2025 sebagai titik perubahan yang berpotensi untuk Malaysia, berdasarkan jangkaan penyelesaian ketidaktentuan berkaitan tarif, yang boleh membantu memulihkan keyakinan pelabur dan membawa kecairan tambahan dalam pasaran,” katanya.

Bank pelaburan tersebut mengekalkan saranan “Pegang” terhadap Bursa Malaysia dengan harga sasaran sebanyak RM7.40 sesaham.

-- BERNAMA