BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naikĀ kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Seramai 220 Usahawan Felda Akan Sertai Karnival Mega 3 Dimensi

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Seramai 220 usahawan dari kalangan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menyertai Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung pada 30 Julai hingga 3 Ogos ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Pengarah Pembangunan Ekonomi Komuniti Felda Datuk Muhammad Rizal Abdul Rahim berkata karnival tersebut bertujuan membuka peluang kepada golongan usahawan Felda menjual serta memasarkan produk mereka serta meneroka pasaran baharu di dalam dan luar negara.

“Kita melihat potensi pasaran yang lebih tinggi bagi produk usahawan Felda bukan sahaja dalam kalangan tanah rancangan mereka tetapi pasaran global juga.

“Menerusi karnival ini, usahawan-usahawan boleh membawa produk mereka dan dilihat sendiri oleh para pengunjung dan boleh dibeli dan secara pukal pada masa akan datang, itu matlamat yang ingin kita capai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam Program Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi bertajuk ‘Memperkasakan Ekonomi Komuniti’ terbitan Bernama TV, semalam.

Pada 24 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pengenalan MK3D sebagai inisiatif utama yang menyatukan program keusahawanan di bawah satu platform holistik.

Katanya, karnival tersebut menyatukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Felda serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah satu program berimpak tinggi yang memberikan penjimatan kepada kerajaan

“Ia menggabungkan tiga inisiatif utama, iaitu Karnival Usahawan Desa oleh KKDW, Hari Peneroka Felda dan Showcase Satu Daerah Satu Industri oleh KUSKOP sebagai langkah strategik pembangunan desa” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Rizal turut berkata golongan usahawan Felda menyambut baik usaha lembaga tersebut dalam membantu mempromosikan produk-produk mereka dalam talian serta platform e-dagang dan sosial media.

“Kita mempunyai ruang untuk membantu mereka memasarkan produk melalui platform kita sendiri iaitu menerusi laman web, TikTok dan sebagainya.

“Kita juga telah bekerjasama dengan KKDWA untuk membangunkan (proses) pendigitalan usahawan-usahawan di setiap negeri dan menjemput usahawan-usahawan bagi memperkenalkan kaedah pemasaran bagi supaya mereka sendiri boleh memasarkannya dari rumah,” katanya.

-- BERNAMA