BERITA TERKINI   Kemboja dan Thailand setuju runding gencatan senjata segera - Trump | 

Bursa Malaysia Catat Nilai Pasaran Melebihi RM1.9 Trilion Pada Separuh Pertama 2025 - CEO

KAMPAR, 26 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan nilai pasaran keseluruhan melebihi RM1.9 trilion pada separuh pertama 2025. Ia juga mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju aktiviti Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kekukuhan pasaran modal negara tetapi juga keyakinan komuniti perniagaan terhadap Bursa Malaysia sebagai rakan kongsi bagi pertumbuhan jangka panjang.

“Penyertaan pelabur runcit turut terus kukuh dan menjadi penyumbang utama kepada pasaran ekuiti negara.

“Setakat pertengahan tahun ini, purata nilai dagangan harian (ADV) pelabur runcit kekal stabil sekitar RM450 juta sejajar dengan paras sebelum tempoh COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Saham Perak 2025 di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee dan Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Pengkomersialan UTAR Prof Dr Zuraidah Abd Manaf.

Fad’l berkata di negeri Perak sahaja terdapat lebih 113,000 atau lapan peratus pelabur runcit aktif dari jumlah keseluruhan 1.4 juta di Malaysia dengan hampir 6,000 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) baharu dibuka setakat pertengahan tahun ini.

Jumlah populasi melebihi 2.5 juta, potensi Perak untuk terus berkembang dalam pasaran modal sangat tinggi, katanya.

“Namun di sebalik angka-angka besar ini, keutamaan kami adalah membina pelabur runcit didorong oleh ilmu pengetahuan, tanggungjawab, dan keyakinan dalam melabur,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Bursa Malaysia menekankan keperluan meningkatkan kesedaran terhadap penipuan pelaburan yang kian meningkat, pada suku pertama tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan lebih 2,000 kes penipuan pelaburan.

Justeru, sebagai langkah pencegahan, Bursa Malaysia mempergiat program literasi kewangan seperti Sens-Ability di samping menyediakan pelbagai bahan pendidikan untuk pelabur baharu dan berpengalaman, kata Fad’l.

"Bursa Malaysia turut memperkenalkan produk pelaburan seperti BR Capital, Bursa Gold Dinar dan MyBursa bagi memenuhi pelbagai segmen pelabur.

“Kami menggalakkan semua yang hadir memanfaatkan sesi perkongsian ilmu dan peluang disediakan sepanjang karnival ini untuk membuat keputusan pelaburan bijak dan berinformasi,” katanya.

Karnival diadakan buat julung kali di Perak ini merupakan sebahagian siri program yang bermula pada 2022, selepas penganjuran di Pahang, Terengganu dan Perlis dengan matlamat memperkukuh literasi pelaburan dalam kalangan rakyat.

-- BERNAMA