BERITA TERKINI   ACLE: JDT 3-1 Shanghai Shenhua | 

Empat Dekad Berlalu, Berjaya Tioman Perkukuh Legasi Menerusi Hospitaliti Mampan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

TIOMAN, 25 Julai (Bernama) -- Selama empat dekad, Berjaya Tioman Resort terus kekal berdiri teguh di sini dan ulang tahunnya yang keempat puluh bukan sekadar satu sambutan biasa, ia adalah untuk meraikan kejayaan perniagaannya dengan visi jelas bagi kemajuan pada masa depan. 

Legasi hospitaliti berterusan resort itu juga disokong oleh perancangan pelan strategiknya.

Kemudahan yang diperbaharui bagi menambah keselesaan tetamu dan tumpuan utama kepada  ekopelancongan dan kemampanan memperlihatkan usaha resort itu menyesuaikan diri dengan peningkatan  nilai pengembara sambil mengekalkan warisan budaya Pulau Tioman.

Ditubuhkan pada 1985 sebagai hotel pertama di bawah Berjaya Group, resort ini telah menyaksikan transformasi pulau ini selama beberapa dekad di samping mengekalkan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar melalui pelbagai inisiatif.

“Antara amalan kemampanan kami adalah usaha pengurangan sisa seperti menghapuskan plastik sekali guna di dalam bilik, menggalakkan penggunaan semula linen (seperti tuala, alas meja, dan peralatan tempat tidur) dan menyokong aktiviti pelancongan melindungi terumbu karang.

"Resort ini juga menganjurkan program pembersihan dalam laut dan penanaman karang, melibatkan kakitangan dan tetamu dalam inisiatif pemuliharaan alam sekitarnya," kata wakil syarikat itu kepada pemberita yang menyertai lawatan suai kenal media anjuran Berjaya Land Bhd.

Selain itu resort tersebut turut bekerjasama membantu inisiatif tapak pemuliharaan penyu berdekatan, yang diusahakan secara persendirian oleh seorang penduduk tempatan.

"Walaupun tidak menaja secara rasmi, resort ini menyediakan sokongan material yang berterusan (kepada tapak pemuliharaan itu) dan menggalakkan para tetamu untuk menyaksikan pelepasan anak penyu bagi memupuk kesedaran tentang kehidupan marin Tioman," kata salah seorang daripada wakil.

Sebagai pusat peranginan terbesar di pulau itu, Berjaya Tioman Resort turut berkongsi kemudahannya dengan masyarakat setempat, menyediakan akses percuma ke kolam renangnya untuk sesi latihan sekolah dan menggunakan padang bola sepaknya.

"Usaha murni ini ditambah dengan sebahagian besar kakitangannya terdiri daripada generasi kedua penduduk tempatan, mencerminkan model kemampanan yang berasaskan penjagaan alam sekitar dan integrasi masyarakat," katanya.

Komitmen resort itu terhadap kemampanan dan pemuliharaan jelas dapat dilihat menerusi dedikasi kakitangannya terhadap usaha pemeliharaan flora tempatan.

Salah seorang kakitangannya, Tonny a/l Johan, yang menyelia taman resort itu menyifatkan apa yang dilakukannya bukan sekadar pekerjaan semata-mata, ia adalah satu tanggungjawab untuk meneruskan kelestarian serta atas dasar cintanya terhadap alam sekitar.

Walaupun tidak menerima latihan secara formal dalam bidang pemeliharaan pokok, naluri Tonny untuk melindungi tumbuhan asli menyumbang kepada usaha kemampanan pulau itu, nilai yang sejajar dengan hala tuju Tioman yang memberi kepentingan kepada pemeliharaan alam sekitar.

Beliau yang berasal dari Endau, Johor,  menyertai resort itu sejak setahun lalu sebagai salah seorang kakitangan yang bertanggungjawab terhadap landskap dan penjagaan tanah.

Kebanyakan kerjanya melibatkan penjagaan flora tempatan.

“Terdapat banyak pokok yang asal di kawasan ini, jadi kami cuba memeliharanya,” katanya kepada Bernama.

Tonny dan pasukan landskapnya juga mengamalkan langkah hijau asas, seperti menggunakan pemangkasan organik untuk pengkomposan.

Walaupun proses pengkomposan diuruskan di peringkat resort, peranan Tonny di peringkat bawah memastikan bekalan bahan mentah dan pemeliharaan harian persekitaran semula jadi resort.

"Apa yang paling saya suka tentang pekerjaan ini ialah ia memberi saya kerja yang bermakna. Saya melakukan apa yang saya suka, menjaga alam sekitar. Ia juga membolehkan saya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

"Saya sentiasa menyukai kerja seperti ini kerana ia membuatkan saya berasa terhubung dengan alam semula jadi," katanya.

-- BERNAMA