Saham Utiliti, Pengguna Pacu Bursa Malaysia Catat Prestasi Tinggi Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi kukuh pada Khamis apabila sentimen positif terus kekal di pasaran tempatan, disokong oleh kenaikan saham utiliti serta produk dan perkhidmatan pengguna.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.97 mata kepada 1,532.76 daripada 1,529.79 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 1.26 mata lebih tinggi kepada 1,531.05 dan bergerak dalam julat kecil antara 1,529.71 hingga 1,533.08 sepanjang sesi pagi.
Bagaimanapun, sentimen pasaran secara keseluruhan sedikit lemah, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 418 berbanding 402, manakala 458 kaunter tidak berubah, 1,238 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.92 bilion unit bernilai RM1.05 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan optimisme pasaran dipacu oleh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga runcit RON95 kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa akhir September, serta pemberian tunai RM100, yang menyumbang kepada prestasi pasaran yang lebih baik hari ini.
“Bantuan tunai ini juga dijangka memberi manfaat kepada sektor pengguna, dengan kaunter seperti EcoShop dan 99 SpeedMart mencatatkan lonjakan susulan pengumuman tersebut.
“Kami terus cenderung kepada sektor pembinaan dan utiliti susulan perkembangan pesat pusat data, serta amanah pelaburan hartanah (REIT) memandangkan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia dan sifat defensif sektor ini,” tambahnya dalam nota penyelidikan.
Kaunter untung dalam kalangan saham utiliti serta produk dan perkhidmatan pengguna berwajaran tinggi termasuk YTL Corporation yang naik enam sen kepada RM2.49. Nestle melonjak RM2.36 kepada RM79.26, Petronas Gas meningkat 22 sen kepada RM17.90, manakala Petronas Dagangan naik 40 sen kepada RM21.40.
Antara saham berwajaran tinggi lain, Maybank susut satu sen kepada RM9.58, Public Bank kekal pada RM4.29, Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM13.92, manakala CIMB dan IHH Healthcare masing-masing naik dua sen kepada RM6.69 dan RM6.64.
Bagi kaunter aktif, NexG kekal pada 52 sen, Zetrix susut 2.5 sen kepada 92 sen, Dagang Nexchange menokok satu sen kepada 29.5 sen, Tan Chong kurang tiga sen kepada 90.5 sen, manakala Tanco menguncup setengah sen kepada 92 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.55 mata kepada 11,508.09, Indeks FBMT 100 meningkat 15.59 mata kepada 11,269.75, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 16.78 mata kepada 11,533.27.
Indeks FBM 70 susut 4.32 mata kepada 16,639.77 manakala Indeks FBM ACE kurang 16.46 mata kepada 4,648.59.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.81 mata kepada 17,435.06, Indeks Perladangan menambah 30.99 mata kepada 7,442.43 namun Indeks Tenaga susut 3.25 mata kepada 739.93 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.07 mata kepada 155.36.
-- BERNAMA