Niaga Hadapan MSM Meneruskan Kenaikan Untuk Ditutup Tinggi
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif meneruskan kenaikan untuk ditutup lebih tinggi pada Rabu, dipacu oleh kenaikan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata pengeluaran MSM yang lebih rendah di Indonesia turut meningkatkan sentimen pasaran hari ini.
“Kami mendapati paras sokongan MSM melebihi RM4,250 setan dengan paras rintangan pada RM4,400 setan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos meningkat RM48 kepada RM4,244 setan, September 2025 menambah RM52 kepada RM4,298 setan dan Oktober 2025 menokok RM51 kepada RM4,315 setan.
Kontrak November 2025 naik RM49 kepada RM4,320 setan, Disember 2025 melonjak RM47 kepada RM4,317 setan dan Januari 2026 meningkat RM51 kepada RM4,313 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 75,900 lot berbanding 75,575 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 231,569 kontrak berbanding 231,767 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan meningkat RM50 kepada RM4,270 setan.
-- BERNAMA