Capitaland Catat Untung Bersih Lebih Tinggi Pada Suku Kedua Sebanyak RM35.07 Juta
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Untung bersih CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) naik kepada RM35.07 juta bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025 daripada RM33.47 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CLMT mencatatkan perolehan lebih tinggi pada suku kedua 2025 iaitu sebanyak RM115.73 juta daripada RM113.65 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Syarikat mengaitkan perolehan yang lebih tinggi ini daripada prestasi lebih baik seperti dicatatkan oleh kebanyakan hartanah dalam portfolio CLMT.
Prestasi yang lebih baik diperoleh daripada hasil kenaikan sewa yang positif, peningkatan sewa bertahap serta pengiktirafan pendapatan sewa daripada Glenmarie Distribution Centre dan Senai Airport City Facilities, masing-masing berkuat kuasa Januari dan Jun 2025.
Bagi separuh pertama yang berakhir pada 30 Jun 2025, untung bersih CLMT menokok kepada RM72.55 juta daripada RM66.96 juta pada tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan juga meningkat kepada RM236.11 juta daripada RM225.54 juta.
"CLMT kekal memberi tumpuan dalam memacu nilai melalui inisiatif pengurusan aset yang disasarkan sambil meneruskan peluang untuk memperoleh aset yang meningkatkan hasil.
“Ketahanan pendapatan dijangka meningkat selepas selesai tiga pembelian aset industri dan logistik yang sedang berjalan pada separuh kedua 2025,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, CLMT mengumumkan cadangan tawaran saham untuk mengumpul sehingga RM250 juta, yang dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.
"Dana yang diperoleh akan digunakan untuk membayar sebahagian daripada pinjaman bank sedia ada, mengukuhkan kedudukan kewangan CLMT dan memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk memanfaatkan peluang pasaran yang sedang membangun.
“Hasil daripada tawaran saham ini akan digunakan terutamanya untuk membayar pinjaman bank sedia ada yang digunakan untuk membeli sembilan aset industri dan logistik. Ini termasuk pembelian yang sudah selesai seperti Valdor Logistics Hub dan Glenmarie Distribution Centre yang kini menyumbang kepada pendapatan,” katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM) Yong Su-Lin berkata kumpulan tersebut terus meningkatkan daya tarikan portfolio hartanahnya dengan menawarkan konsep gaya hidup berorientasikan keluarga di 3 Damansara dan The Mines.
Katanya, langkah ini bertujuan memenuhi kehendak pengunjung yang semakin berubah dan memperkukuh komposisi penyewa di kedua-dua pusat beli-belah berkenaan.
"Dengan penambahan daya tarikan ini, pembeli akan dapat menikmati pengalaman yang lebih baik di pusat beli-belah kami dan kami yakin penyewa juga boleh mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah jualan,” katanya.
Dalam bidang industri dan logistik, Yong berkata, selain daripada pembelian tiga hartanah industri di Senai Airport City, Johor, kumpulan itu menjangkakan pembelian tiga hartanah industri di Nusajaya Tech Park, Iskandar Johor serta sebuah kemudahan logistik automatik moden di Selangor.
Katanya, ia akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan CLMT pada separuh kedua 2025 setelah siap sepenuhnya.
CLMT mencadangkan pengagihan pendapatan pertama sebanyak 2.46 sen bagi setiap unit CLMT bagi tempoh dari 1 Jan, 2025 hingga 30 Jun 2025.
-- BERNAMA