Pembinaan Lebuh Raya Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara - LLM
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Pembinaan lebuh raya terus menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan pekerjaan, pengukuhan rantaian bekalan serta pembukaan peluang perniagaan, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Ketua Pengarah LLM Mohd Hadzmir Yusoff berkata projek lebuh raya bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada kontraktor, malah merangsang penggunaan tenaga kerja tempatan serta aktiviti industri sokongan.
“Apabila lebuh raya siap dibina, kemudahan seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R) turut dibangunkan, sekali gus membuka ruang kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Keperluan dan Cabaran Pembinaan Lebuh Raya di Dalam Bandar” di sini malam ini.
Mengulas keperluan semasa, Mohd Hadzmir berkata pembinaan lebuh raya dalam bandar masih kritikal susulan peningkatan jumlah kenderaan dan tahap kesesakan yang tinggi.
“Rangkaian jalan di bandar kini semakin sesak dengan aliran trafik harian dianggarkan antara 5.5 juta hingga enam juta kenderaan,” katanya.
Beliau berkata pertambahan kenderaan baharu turut memberi tekanan kepada kapasiti jalan sedia ada, dengan kira-kira 600,000 kenderaan baharu didaftarkan tahun lalu.
“Jika tiada penambahan lebuh raya, kapasiti jalan sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menampung pertambahan kenderaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pembangunan lebuh raya dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta (PPP), di mana kos pembinaan ditanggung oleh syarikat konsesi dan dipulangkan melalui kutipan tol.
Bagaimanapun, beliau mengakui pembinaan lebuh raya bukan penyelesaian tunggal kepada kesesakan jangka panjang dan perlu disokong dengan penggunaan pengangkutan awam.
“Dalam jangka panjang, kesesakan masih boleh berlaku walaupun lebuh raya dibina. Justeru, pengguna digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT (Light Rail Transit) dan MRT (Mass Rapid Transit) bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Corporation Bhd, Chua Lay Hoon berkata rakyat Malaysia masih bergantung kepada kenderaan persendirian, sekali gus menuntut penambahbaikan berterusan infrastruktur jalan raya.
“Dengan pertambahan kenderaan yang berterusan, ketiadaan pembangunan lebuh raya baharu berkemungkinan memburukkan lagi kesesakan,” katanya.
Beliau berkata pembangunan lebuh raya bukan sahaja memenuhi keperluan semasa pengguna, malah menyokong pertumbuhan ekonomi dan sosial secara menyeluruh.
-- BERNAMA