BERITA TERKINI   MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | Sukan SEA 2025: Gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menang pingat emas acara melombol lelaki | 

CAAM Ambil Alih Fungsi Kawal Selia Mavcom Mulai 1 Ogos Depan

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil alih fungsi kawal selia Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.

Ia adalah susulan pengumuman dibuat Menteri Pengangkutan Malaysia pada 23 Jun lepas bahawa CAAM dan MAVCOM akan dirasionalisasikan.

MAVCOM berkata tanggungjawab ini merangkumi pelesenan, peruntukan Hak Trafik Udara (ATR), pembangunan lapangan terbang, Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), hal ehwal ekonomi dan persaingan serta pengawasan pengawalseliaan secara menyeluruh.

CAAM turut akan mengurus dan menyelia platform digital seperti AeroFile dan AeroLicence bagi pemprosesan permit overflight/pendaratan serta urusan pelesenan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peralihan itu selaras dengan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 [Akta 856], kata MAVCOM.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata kemampanan dan pertumbuhan berterusan industri penerbangan Malaysia kekal menjadi fokus utama sepanjang proses ini.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan peralihan ini berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan kepada para pihak berkepentingan serta orang awam,” katanya.

MAVCOM berkata semua platform pengguna akan terus beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh peralihan dan selepas 1 Ogos, 2025, pengguna boleh terus mengemukakan aduan mengenai syarikat penerbangan dan lapangan terbang melalui laman web serta aplikasi mudah alih FlySmart sedia ada.

Layari laman web www.caam.gov.my untuk sebarang kemas kini, atau menerusi saluran rasmi CAAM.

-- BERNAMA