BERITA TERKINI   Tujuh syarikat produksi Sabah terima surat tawaran Dana Program TV (Borneo) dan Dana Pasca Produksi berjumlah RM1.39 juta - Fahmi | Sebanyak 42 permohonan Dana Kandungan Kreatif syarikat Sabah dan Sarawak diluluskan bernilai RM7.43 juta, wujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan - Fahmi | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 | PM Anwar rayu kepada Presiden Trump gunakan pengaruhnya hentikan pembunuhan, pengeboman dan benarkan bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza | PM Anwar gesa semua pihak yang mempunyai pengaruh ke atas Israel untuk berani bertindak dengan tegas | 

Jumlah Transaksi BNPL Meningkat Kepada 102.6 Juta Pada Separuh Pertama 2025 - Lim

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Jumlah bilangan transaksi 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL) meningkat kepada 102.6 juta transaksi pada separuh pertama tahun ini daripada 83.8 juta transaksi pada separuh kedua 2024. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata peningkatan mendadak dalam transaksi BNPL mendedahkan pengguna kepada risiko terutamanya golongan berpendapatan rendah dan kurang celik kewangan kepada keberhutangan tidak terkawal.

Katanya jumlah nilai transaksi BNPL meningkat kepada RM9.3 bilion pada separuh pertama tahun ini daripada RM7.1 bilion pada separuh kedua tahun lepas, mencatatkan peningkatan sebanyak 31 peratus.

Beliau berkata jumlah akaun BNPL yang aktif juga meningkat kepada 6.5 juta pada akhir Jun lepas daripada 5.1 juta akaun pada akhir tahun 2024.

“Bagi menangani permasalahan ini dan melindungi kepentingan pengguna kredit, sebuah badan berkanun dikenali sebagai Suruhanjaya Kredit Pengguna atau SKP akan ditubuhkan di bawah RUUKP (Rang Undang-Undang Kredit Pengguna).

“Suruhanjaya ini akan mengawal selia sektor perniagaan yang kini tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak melalui rangka kerja pelesenan dan pendaftaran yang akan dilaksanakan di bawah RUUKP,” katanya ketika membentangkan RUUKP 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini. 

RUU itu dibentangkan oleh Lim untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Mac lepas. Ia dibentang sebagai usaha kerajaan memperkenalkan undang-undang komprehensif bagi melindungi pengguna kredit dan menstruktur semula landskap industri kredit negara.

Lim berkata SKP akan ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata RUUKP digubal bagi menangani dua isu utama, iaitu kewujudan pemain industri tidak terkawal dan ketidakselarasan dalam pengawasan sektor kredit oleh pelbagai pihak berkuasa.

“Objektif utama RUUKP ialah melindungi kepentingan pengguna kredit dalam negara dengan mengawal selia semua perniagaan kredit dan perniagaan perkhidmatan kredit, memastikan perlakuan yang baik dan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh peserta industri kredit dan menggalakkan kemajuan industri kredit yang adil, cekap dan telus,” katanya. 

Katanya RUUKP turut menetapkan tanggungjawab SKP untuk menasihati kerajaan dalam dasar kredit pengguna, menggalakkan amalan yang adil, profesional dan bertanggungjawab, melaksanakan pelesenan berdasarkan prinsip layak dan sesuai.

“Melalui pelaksanaan RUUKP, kerajaan menzahirkan komitmen yang tinggi untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih selamat demi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA