BERITA TERKINI   Kerja pembaikan, penstabilan Sistem Autogate masih berjalan untuk pastikan ia kembali beroperasi pada kapasiti optimum - AKPS | Sistem Autogate untuk pelawat asing mula beoperasi secara beperingkat - AKPS | ⁠Pelajar institusi pondok perlu dalami ilmu TVET untuk kuasai bidang digital dan teknologi - PM Anwar | Umat Islam perlu pertahan legasi keilmuwan Islam, perkukuh hubungan antara ulama dan umarak - PM Anwar | Malaysia belum terima maklumat mengenai laporan yang mendakwa Jho Low menetap di China- PM Anwar | 

PKS Labuan Mendepani Era Digital Dengan Bengkel TikTok Shop

LABUAN, 18 Julai (Bernama) -- Kebangkitan era perdagangan digital menjadi tumpuan untuk 80 usahawan tempatan di pulau bebas cukai ini apabila mereka berkumpul hari ini untuk menghadiri Bengkel TikTok Shop yang dianjurkan oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Labuan.

Presiden Persatuan PKS Labuan Jefery Tan berkata acara itu yang bertujuan memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menyediakan panduan secara langsung bagi menggunakan TikTok Shop untuk meningkatkan keterlihatan dalam talian, memacu jualan dan meningkatkan perniagaan mereka.

“Diadakan dengan kerjasama TikTok Shop Malaysia, bengkel ini merupakan sebahagian daripada misi berterusan persatuan untuk menyokong usaha kerajaan dalam mendigitalkan sektor PKS di seluruh negara.

“Transformasi digital bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan untuk usahawan masa kini. Melalui bengkel ini, kami menyasarkan untuk menyediakan PKS tempatan dengan strategi praktikal bagi memasarkan dan menjual produk mereka dengan lebih berkesan melalui TikTok Shop,” katanya dalam satu kenyataan.

Para peserta dibimbing melalui sesi interaktif mengenai cara membuka akaun TikTok Shop, mencipta kandungan video yang menarik dan menggunakan strategi e-dagang yang disasarkan — kemahiran yang disesuaikan secara khusus untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil dengan sumber yang terhad.

“Ini (bengkel) bukan sekadar tentang menjadi tular di media sosial. Ia mengenai membantu pemilik perniagaan kecil mendapatkan pelanggan-pelanggan baharu, meningkatkan keterlihatan dan menambah jualan melalui peralatan mampu milik dan moden.

“Persatuan PKS Labuan mengesahkan komitmennya untuk menganjurkan lebih banyak inisiatif yang melengkapkan usahawan tempatan dengan kemahiran digital penting dan membuka laluan baharu untuk pertumbuhan mampan dalam era digital,” katanya.

-- BERNAMA