Jumlah Dagangan Malaysia Naik 4.8 Peratus Kepada RM1.465 Trilion Pada Separuh Pertama 2025 - MITI
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh pada separuh pertama 2025, meningkat 4.8 peratus kepada RM1.465 trilion berbanding tempoh yang sama pada 2024, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata eksport meningkat 3.8 peratus kepada RM760.2 bilion dan import melonjak kepada 5.9 peratus kepada RM704.67 bilion, manakala lebihan dagangan berjumlah RM55.53 bilion.
“Prestasi perdagangan pada Jun 2025, bagaimanapun, mencatatkan penurunan kecil 1.2 peratus kepada RM234.85 bilion berbanding Jun 2024.
“Eksport menyusut 3.5 peratus kepada RM121.72 bilion, manakala import meningkat 1.2 peratus kepada RM113.13 bilion,” katanya.
MITI berkata lebihan dagangan kembali meningkat kepada RM8.59 bilion pada Jun daripada RM759.9 juta pada Mei, iaitu lebihan ke-62 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, sekali gus mencerminkan daya tahan berterusan dalam kedudukan perdagangan luar Malaysia.
MITI mengaitkan penurunan eksport pada Jun ini terutamanya disebabkan oleh pengurangan eksport barangan perkilangan dan hasil galian, khususnya produk petroleum, gas asli cecair dan petroleum mentah.
“Penyusutan ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan berterusan dalam eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, yang mencatatkan pertumbuhan dua digit pada Jun 2025, meneruskan momentum pertumbuhan bagi 15 bulan berturut-turut.
“Ia turut disokong oleh peningkatan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, serta barangan elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Menurut MITI, pertumbuhan dalam eksport E&E konsisten dengan unjuran Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) iaitu peningkatan 11.2 peratus dalam jualan semikonduktor global pada 2025.
Dari segi destinasi, eksport ke rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan Taiwan mencatatkan kenaikan pada Jun 2025.
Katanya, perdagangan Malaysia dengan AS, yang merangkumi 11.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 10.8 peratus tahun ke tahun kepada RM27.32 bilion, dengan eksport meningkat 4.7 peratus kepada RM16.28 bilion dan import menaik 21.1 peratus kepada RM11.05 bilion.
“Eksport ke Mexico juga meningkat, terutamanya didorong oleh peningkatan eksport barangan E&E.
“Berhubungan langkah tarif oleh AS, Malaysia kekal komited untuk meneruskan libat urus ke arah mencapai mencapai aturan perdagangan yang seimbang dan memberi manfaat bersama,” katanya.
Sementara itu, ASEAN merangkumi 24.8 peratus dalam jumlah perdagangan Malaysia pada Jun 2025, tetapi perdagangan dengan rantau ini menyusut 10.5 peratus tahun ke tahun kepada RM58.21 bilion.
Kementerian itu berkata, MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia sedang mempergiatkan usaha untuk membina ekosistem perdagangan yang lebih berdaya tahan, termasuk mempelbagaikan pasaran eksport dan mengukuhkan hubungan perdagangan menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas.
-- BERNAMA