BERITA TERKINI   PH kesal tindakan 14 ADUN UMNO / BN Negeri Sembilan, sifatkan tidak hayati semangat Kerajaan Perpaduan - Fahmi | Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Biobahan Api ditubuhkan bagi menyelaraskan pelaksanaan agenda keselamatan tenaga negara - Akmal Nasrullah | Peranan GLC dan GLIC bukan sekadar pertahan pulangan pelaburan, malah bantu perkukuh daya tahan ekonomi - Akmal Nasrulllah | Kerajaan tumpu pada sektor elektrik, industri pembinaan, pasaran buruh dan penilaian ekonomi jangka sederhana dalam mesyuarat MTEN minggu ini - Akmal Nasrullah | Pasaran ekuiti tempatan berdaya tahan dengan meningkat 1.5 peratus pada Jumaat lepas, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara - Akmal Nasrullah | 

KPK Teroka Mekanisme Penilaian Kredit Karbon Industri Sawit Menerusi Persijilan MSPO - Noraini

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneroka pembangunan mekanisme berkaitan karbon secara berperingkat menerusi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), termasuk menilai kesesuaian model kredit karbon yang selaras dengan konteks industri sawit negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata usaha ini akan turut melibatkan penelitian aspek tadbir urus institusi, pelaporan dan pengesahan (MRV), pemilikan data serta potensi penjanaan nilai kepada pemain industri.

“Pendekatan ini adalah bagi memastikan sebarang mekanisme yang dibangunkan berintegriti, diyakini pasaran dan praktikal untuk dilaksanakan di lapangan tanpa menjejaskan asas dan kredibiliti pensijilan MSPO, khususnya melibatkan pekebun kecil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata secara prinsipnya KPK berpandangan bahawa usaha memperkukuh elemen kemampanan dalam MSPO, termasuk pengurangan, pengurusan dan pelaporan pelepasan karbon, adalah selari dengan keperluan pasaran global serta komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim.

“Dalam konteks ini, cadangan untuk mengintegrasikan elemen kredit karbon dilihat berpotensi sebagai nilai tambah kepada industri.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan penelitian serta penilaian teliti dan berperingkat, khususnya dari segi kesiapsiagaan data, keutuhan sistem pengukuran, MRV, dan kesesuaian dengan struktur industri tempatan termasuk pekebun kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keutamaan KPK ketika ini adalah untuk memperkukuh asas pelaksanaan pensijilan MSPO sedia ada.

Ini termasuk pemantapan pengiraan dan pelaporan gas rumah kaca (GHG), peningkatan ketelusan dan integriti data serta pengukuhan sistem kebolehjejakan rantaian bekalan.

“Kesimpulannya, sebarang pembangunan MSPO, termasuk penerokaan elemen kredit karbon, akan dilaksanakan berasaskan kajian dan penilaian yang menyeluruh.

“Pelaksanaan itu akan melalui libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan, pihak industri, pakar, serta rakan antarabangsa bagi memastikan keseimbangan antara daya saing pasaran, keperluan pematuhan global dan kepentingan nasional,” katanya.

Pada Disember lepas, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)  Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan protokol penambahbaikan karbon diperkenalkan ke dalam pensijilan MSPO, yang secara efektif akan mengubahnya kepada MSPO 3.0.

Beliau berkata MSPO 3.0 akan mengintegrasikan mekanisme perakaunan dan pengkreditan karbon dalam proses pensijilan.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan penubuhan pasukan petugas kebangsaan yang diketuai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk memastikan Malaysia membangunkan rangka kerja kredit karbon berasaskan kelapa sawit.

-- BERNAMA