BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Brahim's Optimis Terhadap Pelanggan Baharu, Pengembangan Halal Di Peringkat Global

BANGI, 17 Julai (Bernama) -- Brahim's Holdings Bhd sedang membina semula perniagaan katering penerbangan dan mengembangkan kehadirannya dalam segmen makanan halal global, kata Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Bercakap kepada pemberita semasa sambutan ulang tahun ke-37 syarikat itu di sini hari ini, beliau berkata lebih ramai pelanggan telah menyambung semula perkhidmatan dengan syarikat itu termasuk syarikat penerbangan baharu.

"Pada Februari lepas, kira-kira separuh daripada 37 pelanggan dari syarikat penerbangan kembali mendapatkan perkhidmatan Brahim’s. Hari ini, lebih ramai telah kembali, dua syarikat baharu telah menyertai kami.

“Antaranya ialah syarikat penerbangan dari China, mencerminkan peningkatan jumlah penerbangan dari China ke Malaysia terutamanya ke Pulau Pinang," katanya.

Brahim's, dikenali sebagai penyedia perkhidmatan katering penerbangan dipercayai di Malaysia dan perintis dalam hidangan makanan halal sedia untuk dimakan telah menyediakan perkhidmatan kepada 38 syarikat penerbangan sebelum pandemik COVID-19 mengganggu penerbangan global.

"Syarikat penerbangan terkemuka seperti Qatar Airways, Emirates, British Airways, Turkish Airlines, Japan Airlines dan All Nippon Airways telah menyambung semula perkhidmatan dengan Brahim’s...kami masih menunggu beberapa lagi syarikat penerbangan," katanya.

Walaupun pemulihan berlaku secara beransur-ansur, Ibrahim berkata Brahim’s telah memperoleh pulangan modal operasi.

"Alhamdulillah, pelanggan baharu merupakan bonus. Kami juga menunggu syarikat penerbangan baharu dan peluang baharu untuk berkembang," katanya.

 

Sasar Pengembangan di Luar Negara

Beliau berkata Brahim’s sedang dalam perbincangan untuk mewujudkan kemudahan katering penerbangan baharu di luar negara menerusi usaha sama.

"Kami masih membincangkan perkara ini, memuktamadkan pelbagai perkara. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan membuat pengumuman pada Oktober depan. Terlalu awal untuk memberi butiran lanjut mengenainya...tetapi ya, kami sedang meneroka pengembangan global," katanya.

Selain katering syarikat penerbangan, Brahim’s telah pun meneroka pasaran Jepun dengan empat restoran di Tokyo, dua dimiliki sepenuhnya, manakala dua lagi adalah usaha sama dengan rangkaian hotel Jepun.

"Kedai terbaharu dibuka dua bulan lepas di Tokyo. Alhamdulillah, ia berkembang dengan baik dan kami sedang mencari untuk mengembangkan lagi dengan kerjasama rakan kongsi dari Jepun," kata Ibrahim.

 

Rebut Peluang Gelombang Pelancongan Halal ASEAN

Melangkah ke hadapan, beliau berkata matlamat Brahim’s adalah untuk meneroka sektor pelancongan halal dilihat semakin berkembang khususnya dalam ASEAN yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia.

"Di ASEAN, terdapat potensi besar untuk perniagaan halal. Jika kita bekerjasama rapat dengan negara seperti Indonesia dan Singapura, kita boleh secara kolektif mengembangkan jejak halal kita malah menjadi peneraju pada skala global," katanya.

Beliau juga menekankan kelebihan Brahim’s dalam teknologi makanan termasuk inovasi dalam teknologi retort, proses pengawetan makanan dengan haba tinggi, ia mendapat tarikan di Jepun.

"Kami adalah antara perintis. Teknologi itu sangat berjaya di sana dan ia adalah sesuatu yang kami boleh terus memanfaatkan secara global," katanya.

Sejak penubuhannya, Brahim’s telah berkembang daripada katering tradisional kepada penggiat global dalam inovasi makanan halal dengan cita-cita seiring dengan pemulihan penerbangan dan peningkatan permintaan untuk produk makanan diperakui halal.

-- BERNAMA