Sambal Nasi Lemak Syilis Dari Perak Tembusi Pasaran Arab Saudi

BATU GAJAH, 15 Julai (Bernama) -- Sambal nasi lemak jenama Syilis, keluaran anak tempatan dari Perak berjaya menembusi pasaran Arab Saudi apabila produk itu bakal dihidangkan dalam penerbangan Saudia Airlines. 

Ketua Pegawai Eksekutif Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd Shahrol Annaz Abdul Nasir berkata sebanyak 4,000 pes sambal nasi lemak, rendang ayam dan daging syarikat itu digunakan sebagai menu hidangan untuk syarikat penerbangan berkenaan. 

"Di peringkat permulaan kita telah mengeksport lebih 1,000 pes sambal dan selepas ini kita menerima tempahan kira-kira 9,000 pek sambal lagi untuk Saudia Airlines," katanya selepas majlis pelepasan kontena produk sambal dan pes Syilis ke pasaran Arab Saudi di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed. 

Shahrol Annaz berkata produk keluarannya turut dieksport ke Jepun, Brunei dan Singapura.

Sejarah pengeluaran produk Syilis bermula sejak 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan produk terawal yang dikeluarkan ialah sambal hijau ikan bilis diikuti sambal hijau petai.

Bekas pengurus produksi itu memulakan perniagaan bermodalkan RM100 dengan menghasilkan 20 botol sambal hijau menggunakan nama Meksaleh sebagai permulaan menjual produk sedia dimakan berkenaan.

Sementara itu Salbiah berkata kejayaan Syilis ke pasaran antarabangsa diharap dapat menjadi pencetus semangat kepada usahawan lain di Perak supaya berani mengeksport dan memperkukuh jenama masing-masing.

"Pendekatan proaktif Syilis perlu dicontohi terutamanya dalam penyediaan produk berkualiti tinggi, dokumentasi eksport yang lengkap, pematuhan piawaian antarabangsa dan strategi pasaran yang berkesan," katanya.

Dalam pada itu Salbiah berkata melalui Program Perluasan Pasaran, Produk, Perkhidmatan dan Eksport Negeri Perak membabitkan 26 usahawan dari negeri itu dijangka mencatatkan potensi kontrak bernilai RM8.4 juta setakat tujuh bulan pertama tahun ini.

Katanya ia diperoleh menerusi Brunei Consumer Fair & Trade Expo 2025, Fine Food New Zealand 2025 di Auckland, New Zealand dan World Expo Osaka 2025 di Jepun.

Beliau berkata dalam pada itu, sejumlah RM582,000 hasil kutipan jualan tunai berjaya diperoleh menerusi ketiga-tiga ekspo berkenaan yang berlangsung pada tahun ini.

-- BERNAMA