BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

DayOne Pacu Pelaburan Rantaian Bekalan Digital Di Johor, Jadikan Malaysia Hab Serantau

Oleh Hasnah Jusid

ISKANDAR PUTERI, 15 Julai (Bernama) -- Operator pusat data global DayOne memperkukuh komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia dengan meletakkan negara ini sebagai hab utama dalam rantaian bekalan digital serantau menerusi pelaburan infrastruktur dan ekosistem utama yang berpusat di Johor.

Pengurus Besar DayOne Data Centers Malaysia Sdn Bhd Jimmy Yan berkata pada masa ini syarikat itu sedang membangunkan dua kampus hiperskala di Nusajaya Tech Park dan Kempas Tech Park, masing-masing berkeluasan ratusan ekar dan menyasarkan kapasiti gabungan sehingga 500 megawatt.

“Matlamat kami bukan sekadar untuk mewujudkan pusat data, malah untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital Malaysia melalui pemerkasaan rantaian bekalan kami, pembangunan bakat tempatan berkemahiran serta membina kerjasama jangka panjang dengan kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Menurut Jimmy projek ini telah menjana limpahan ekonomi yang ketara, dengan pelaburan rantaian bekalan dianggarkan mencecah RM400 juta, didorong oleh penyetempatan vendor dan rakan kongsi.

Beliau berkata DayOne menyasarkan kepada peralihan daripada “melabur di Malaysia” kepada “Dikeluarkan di Malaysia,” yang menjadikan negara ini bukan sahaja sebagai pangkalan operasi, malah sebagai hab teras pembuatan dan rantaian bekalan bagi keperluan infrastruktur global syarikat itu.

“Kami sedang membawa masuk ekosistem kami, bukan sahaja pelanggan hiperskala dan syarikat gergasi  teknologi kami, malah syarikat pemula niaga kecerdasan buatan (AI) dan pembangun aplikasi untuk menubuhkan operasi serantau di sini,” katanya.

Jimmy berkata kehadiran syarikat itu di Johor adalah sejajar dengan inisiatif negeri berkenaan melalui kerangka kerja Zon Ekonomi Khas (SEZ) sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai kuasa digital yang sedang pesat membangun.

Dari segi pekerjaan, DayOne dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan langsung atau secara terus dan sehingga 5,000 pekerjaan tidak langsung dalam tempoh beberapa tahun akan datang melalui kontraktor, pembekal dan rakan ekosistemnya.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor, Universiti Teknologi Malaysia dan pusat latihan teknologi maju (adtech) untuk membangunkan bakat tempatan, termasuk menarik rakyat Johor yang bekerja di Singapura untuk pulang dan membina kerjaya di negara ini.

“Kami bukan sekadar menawarkan pekerjaan. Kami menyediakan peningkatan kemahiran dan teknikal supaya bakat tempatan dapat berkembang ke jawatan bernilai tinggi terutamanya dalam kejuruteraan, operasi dan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata lokasi strategik Johor yang bersebelahan Singapura, disertai dengan sokongan kerajaan dan infrastruktur maju telah meletakkan negeri ini sebagai platform pelancaran yang ideal untuk pelaburan digital dan AI di Asia Tenggara.

“Malaysia mempunyai antara bakat, sumber dan infrastruktur terbaik di rantau ini. Itulah sebabnya kami bukan sekadar melabur di sini malah menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama dalam operasi global kami,” katanya.

-- BERNAMA