Bursa Tegur Zetrix AI, Denda Tujuh Pengarah Masing-masing RM150,000

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Zetrix AI Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd, dan turut mengenakan denda kepada tujuh pengarah syarikat kerana melanggar Keperluan Penyenaraian (LR) Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.

Operator bursa saham itu mengenakan denda RM150,000 kepada setiap pengarah termasuk Pengarah Urusan Kumpulan syarikat Wong Thean Soon, Pengerusi Eksekutif Datuk Dr Norraesah Mohamad dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah.

Turut menerima teguran dan didenda ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Wong Kok Chau, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Datuk Mohd Jeffrey Joakim dan Mohaini Mohd Yusof.

Menurut Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan hari ini penemuan pelanggaran dan denda yang dikenakan ke atas syarikat dan pengarahnya telah dibuat (mengikut) perenggan 16.19 LR Pasaran Utama apabila proses yang sewajarnya selesai dan selepas mengambil kira semua fakta dan situasi perkara itu.

Ini termasuk tahap keseriusan pelanggaran, impaknya terhadap syarikat dan pemegang saham dan pelabur, serta peranan, tanggungjawab, pengetahuan, penglibatan dan tata laku/ tindakan/ketidaktindakan para pengarah.

"Bursa Malaysia Securities juga telah mengingatkan syarikat dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab mereka untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat dan kebertanggungjawapan sewajarnya kepada pemegang saham dan orang ramai yang melabur," menurut kenyataan itu.

Pada 7 Julai 2023, Zetrix AI mengumumkan syarikat itu telah menerima surat pemakluman bertarikh 4 Julai 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan meluluskan syarikat itu untuk dilantik sebagai ejen kutipan bagi hasil kerajaan dan melanjutkan peranannya sebagai penyedia perkhidmatan dalam talian untuk Jabatan Imigresen Malaysia.

"Bagaimanapun, pengumuman pada 7 Julai itu adalah tidak berdasarkan fakta, tidak tepat, palsu dan mengelirukan kerana kandungan surat bertarikh 4 Julai tidak konsisten dengan kenyataan yang dibuat oleh syarikat dalam pengumuman bertarikh 7 Julai," kata Bursa Malaysia Securities.

-- BERNAMA