Sadhana Tawar Khidmat Pakar Bagi Roboh Bangunan Dan Kitar Semula Bahan Terpakai

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Sadhana Demolition & Engineering Sdn Bhd (Sadhana) boleh menjadi rakan kongsi yang sesuai bagi syarikat yang mahu membuat pelaburan baharu, melancarkan loji pembuatan atau menutup operasi di Malaysia. 

Syarikat yang mempunyai kepakaran dalam perobohan bangunan konkrit, kilang dan gudang, Sadhana juga menguruskan pelupusan aset.

Selain perobohan, syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan menjual dan menyelamatkan sisa bahan terpakai termasuk struktur logam, mesin, kelengkapan elektrik, kabel dan besi keluli tetulang asas konkrit, sekai gus membantu pelanggan mendapatkan semula jutaan ringgit daripada aset yang berkemungkinan akan dibuang.

Lagipun, bahan berharga di tapak boleh digunakan untuk mengimbangi kos perobohan. Dalam kebanyakan kes, jika jumlah nilai penjualan sisa bahan terpakai itu lebih tinggi daripada kos, Sadhana masih boleh membayar pelanggan mereka sambil melaksanakan semua tugas yang ditetapkan.

Pengarah Urusannya, William Koh berkata syarikat tersebut menawarkan penyelesaian sehenti keseluruhan bagi projek penyahtauliahan loji.

“Kami menyediakan pelan komprehensif untuk perhubungan dengan pihak berkuasa, pelupusan bangunan dan jentera, penutupan loji rawatan air sisa, pengendalian sisa berjadual yang betul, penyediaan pelan penutupan alam sekitar dan pembersihan tapak secara keseluruhan.

“Bagi pembangunan baharu, perkhidmatan kami merangkumi pelbagai aspek penyediaan tapak, termasuk permit, penimbunan, menanggalkan semua substruktur dan kitar semula konkrit.

“Kami membantu pelanggan mendapatkan nilai pulangan yang maksimum sambil memastikan pematuhan dan pelaksanaan yang cekap,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan komitmen Sadhana terhadap keselamatan, pematuhan terhadap peraturan dan pembentukan nilai.

“Kami mematuhi kod amalan perobohan B26 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan tegas, memastikan semua projek dilaksanakan dengan selamat dan mematuhi piawaian Malaysia.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Majlis Perbandaran, CIDB, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, serta Jabatan Alam Sekitar untuk memastikan semua proses perobohan dan pembersihan mematuhi peraturan tempatan, diuruskan dengan cekap dan disiapkan mengikut jadual,” katanya.

 

Amalan ESG dan rekod prestasi kukuh

 

Sementara itu, beliau berkata Sadhana juga menyokong pelanggan dalam mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka dengan melaksanakan amalan mampan seperti penghancuran konkrit di tapak yang membolehkan serpihan digunakan semula sebagai bahan asas pembinaan.

“Semasa musim hujan, tapak pembinaan boleh menjadi berlumpur dan tidak stabil - mesin berat boleh tumbang jika struktur tanah tidak kukuh.

"Konkrit hancur ini membantu menstabilkan tanah dan meningkatkan paras platform, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada banjir. Ia situasi yang saling memberi manfaat, kami mengitar semula bahan mentah dan dalam masa yang sama dapat menambah baik keadaan tapak," katanya.

Sejak penubuhannya pada 2010, William berkata Sadhana telah menyiapkan lebih daripada 150 projek di seluruh Malaysia, disokong oleh lebih 50 jentera berat, rantaian bekalan kukuh dan sokongan padu daripada rangkaian kenalan perniagaannya.

Antara projek utama syarikat itu adalah kerja-kerja perobohan kilang syarikat Kanada di Kuantan dan berjaya mengembalikan tanah itu kepada Pelabuhan Kuantan.

"Kami mempunyai rekod prestasi yang telah terbukti kukuh dan banyak perakuan pelanggan yang menyokong kami. Dengan pasukan profesional dalaman kami, kami melaksanakan projek dengan cekap dan berkesan.

“Mengambil kontraktor yang tidak berkelayakan berpotensi membawa kepada isu seperti keselamatan, pembuangan sisa robohan secara haram, kelewatan dan pertikaian kontrak disebabkan harga yang tidak tepat,” katanya.

 

Peralihan ekonomi cipta peluang baharu

 

Tahun lepas, Sadhana mencatatkan perolehan kira-kira RM60 juta daripada 15 projek.

William menjelaskan syarikat itu beroperasi mengikut projek, justeru pendapatan yang diperoleh berbeza-beza bergantung pada bilangan dan saiz projek yang diberikan.

“Dalam sektor pembuatan Malaysia, kita telah melihat beberapa syarikat (global) menutup kilang mereka. 

"Sebagai contoh, Panasonic baru-baru ini mengumumkan pelan penstrukturan semula globalnya yang melibatkan kilang di Malaysia. Dalam industri pembuatan tayar, Silverstone ditutup beberapa tahun lalu, Goodyear telah menghentikan operasi hujung tahun lepas, dan baru-baru ini terdapat berita bahawa Continental Tyre di Kedah akan ditutup tahun ini. Penutupan ini mewujudkan peluang kepada kami," katanya.

Beliau berkata setakat Mei 2025, Sadhana telah memperoleh enam hingga tujuh projek dan syarikat itu berada dalam landasan yang tepat untuk menyamai prestasi tahun lepas.

Mengulas mengenai ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan China, William berkata Malaysia tidak terkecuali daripada kesan tersebut.

Katanya, perang perdagangan yang berterusan telah menyebabkan banyak pengilang di China menilai semula rantaian bekalan mereka ke Malaysia.

“Aliran ini bukan baharu, tetapi kami melihat minat pasaran yang semakin meningkat, dengan syarikat China meneroka Malaysia sebagai pangkalan yang berpotensi bagi operasi pembuatan mereka.

“Perubahan ini membuka peluang perniagaan baharu kepada kami, terutamanya dalam kerja pembersihan tapak dan perobohan bagi pembangunan loji baharu.” katanya.

Pengarah Urusan itu berkata sektor pembuatan tempatan Malaysia juga berdepan dengan tekanan, dengan banyak kilang lama bergelut untuk bersaing dengan kemudahan pengeluaran moden dan berskala besar dari China.

“Banyak loji di sini masih beroperasi dengan jentera dan proses yang ketinggalan zaman. Jika tidak dinaik taraf, ia berisiko untuk ditutup dan apabila ia berlaku perkhidmatan kami amat diperlukan daripada pelupusan aset hingga pembersihan tapak.

“Jadi, sama ada pelaburan baharu, penstrukturan semula atau penutupan perniagaan, Sadhana Demolition & Engineering berada dalam kedudukan yang baik untuk menyampaikan penyelesaian menyeluruh dalam perobohan, penyelamatan dan pemulihan aset,” katanya.

-- BERNAMA