Data Ekonomi AS, Perdagangan Tidak Menentu Jejas Ringgit Ketika Ditutup
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini lebih rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh telah mendorong permintaan terhadap unit negara maju itu.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata keadaan ini berlaku apabila data tuntutan awal pengangguran di AS yang lebih rendah berbanding jangkaan telah dikeluarkan semalaman, yang mengukuhkan lagi naratif bahawa pasaran buruh AS masih berdaya tahan, seterusnya meningkatkan hasil Perbendaharaan AS.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.2475/2525 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2505 semasa ditutup pada Khamis.
Innes berkata penyusutan ringgit baru-baru ini sebahagian besarnya dipacu oleh faktor makroekonomi global termasuk data ekonomi AS yang kukuh dan peningkatan ketidaktentuan geopolitik, berbanding disebabkan asas ekonomi Malaysia.
“Ketika ini, ringgit tidak lagi didagangkan bersandarkan faktor asas tempatan. Ia dipengaruhi momentum kukuh petunjuk makroekonomi AS, keteguhan dolar dan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat.
“Kekuatan baharu dolar AS ini memberi tekanan menurun terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun yang mudah turun naik terutamanya yang mempunyai hubungan dagangan yang erat dan sensitif terhadap kadar faedah global seperti ringgit,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata risiko politik yang semakin meningkat adalah berikutan retorik perdagangan AS terutamanya daripada Presiden AS Donald Trump.
“Sama ada ini adalah sebahagian daripada perubahan strategik yang lebih luas atau sekadar taktik menjelang pilihan raya, pasaran kini menumpukan perhatian.
“Walaupun sesetengah pihak menganggapnya sebagai tidak serius, kebimbangan yang semakin meningkat tetap ada, terutamanya memandangkan hubungan erat Malaysia dengan China dan negara-negara BRICS -- hubungan yang kini semakin bertentangan dengan pendirian geopolitik semasa Washington,” katanya.
Innes berpandangan aspek ketidaktentuan politik ini menambahkan lagi kerumitan terhadap prospek ringgit, sekali gus menyukarkan pasaran untuk menetapkan harga atau melindung nilai.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata ringgit menyusut hari ini berikutan kebimbangan semula terhadap tarif AS.
“Sentimen pasaran terjejas apabila Trump kekal dengan pendirian agresif terhadap perdagangan, mencetuskan ketidaktentuan mengenai pendekatan tarif pada masa akan datang terhadap beberapa negara,” katanya.
Beliau berkata retorik yang berlarutan ini telah meningkatkan lagi kewaspadaan pelabur terutamanya di pasaran sedang pesat membangun justeru itu memberi tekanan tambahan kepada mata wang serantau termasuk ringgit.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7524/7592 daripada 5.7716/7845, meningkat berbanding euro kepada 4.9679/9737 daripada 4.9751/9863 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.8893/8929 daripada 2.9014/9081.
Bagaimanapun, mata wang tempatan ini diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.0668/0886 daripada 13.0196/0548 semasa ditutup semalam, dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.52/7.53 daripada 7.51/7.53.
Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3186/3228 daripada 3.3159/3236, dan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 261.8/262.3 daripada 261.3/262.1 sebelumnya.
-- BERNAMA