BERITA TERKINI   Bakar suar: Sultan Selangor zahir rasa amat dukacita insiden babitkan penyokong Selangor FC - Istana Alam Shah | Bakar suar: Sultan Selangor mahu polis cari dalang, harus dikenakan hukuman maksimum jika bersalah - Istana Alam Shah | Polis temukan enam rangka manusia, termasuk lima sekeluarga, di rumah terbiar yang terbakar di Kangkar Pulai bulan lepas - Ketua Polis Johor | Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | 

Malaysia-Azerbaijan Perkukuh Kerjasama Industri Halal Melalui MOU HDC-KOBİA

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Small and Medium Business Development Agency of Azerbaijan (KOBİA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan kerjasama dalam pembangunan industri halal, memudah cara perdagangan serta pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara kedua-dua negara.

Menurut HDC dalam kenyataan, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian mereka untuk menyokong pengembangan produk, perkhidmatan dan pelaburan halal merentasi sempadan.

“Dengan menggabungkan pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekosistem halal yang berstruktur dengan landskap PKS dan perdagangan Azerbaijan yang berkembang, kami membuka laluan kepada peluang baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari.

Di bawah MoU itu, HDC dan KOBİA akan bersama-sama melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan penyertaan dalam industri halal melalui pembinaan kapasiti dan latihan, penganjuran acara secara bersama, pertukaran maklumat dan memudah cara pasaran.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Azerbaijan meningkat dengan pesat, dengan eksport Malaysia ke Azerbaijan melonjak 173 peratus pada 2024 kepada US$24.9 juta, mencerminkan potensi pasaran yang kukuh dan keyakinan pelabur yang tinggi.

Menurut HDC, kerjasama itu melambangkan visi bersama kedua-dua negara — menjadikan halal bukan sekadar sebagai pensijilan, malah sebagai pemangkin untuk perdagangan global, perniagaan beretika dan kemajuan sosioekonomi.

-- BERNAMA