Johor Cipta Gelombang Ekonomi Baharu Menerusi Sektor Digital Dan AI
Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Johor menjadi antara destinasi pelaburan paling rancak di Malaysia apabila terus merekodkan kelulusan pelaburan berjumlah RM30.1 bilion pada suku pertama tahun ini.
Negeri itu juga dapat mencipta momentum dan gelombang baharu dalam ekosistem pelaburan negara menerusi sektor digital dan kecerdasan buatan (AI).
Boleh dikatakan hampir 90 peratus daripada pelaburan yang diterima kerajaan negeri dalam tempoh tiga bulan tersebut melalui infrastruktur digital.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini berkata, Johor dijangka mengendalikan 60 peratus daripada jumlah kapasiti pusat data Malaysia menjelang 2030 dalam usaha mengukuhkan peranannya sebagai hab digital bagi Asia Tenggara.
Angka itu bukan sekadar statistik, tetapi disifatkan satu cerminan kepada keberkesanan dasar dan kerangka ekonomi yang dibina oleh kerajaan negeri dengan sokongan kukuh Kerajaan Persekutuan.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Presiden Dewan Perdagangan Perkongsian Pembangunan ASEAN Datuk Tee Siew Kiong berkata keberanian pimpinan kerajaan negeri Johor dalam melaksanakan polisi mesra pelabur contohnya dilihat sebagai pemangkin utama dalam membina keyakinan pelabur ke negeri ini.
“Kita ucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan kerajaan negeri Johor atas kejayaan meyakinkan para pelabur untuk melabur di negeri ini.
“Kejayaan ini turut mencerminkan kestabilan pentadbiran dan landskap politik yang kukuh di negeri ini. Malah, kerajaan negeri Johor mempunyai pasukan kerja yang cukup agresif dan bijaksana dalam membantu pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur di sini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
DARIPADA KELAPA SAWIT DAN GETAH KEPADA AI
Dengan kehadiran syarikat multinasional (MNC) yang bertapak di selatan tanah air seperti Microsoft dan pemain utama pusat data seperti GDS International, Nvidia, AirTrunk di daerah Kulai, ia seolah-olah membuka lembaran baharu dengan berlakunya perubahan pesat di daerah berkenaan.
Dahulunya hanya dikenali sebagai kawasan ladang getah dan kelapa sawit, tetapi kini kepada taman perindustrian berteknologi tinggi.
Jarak di antara daerah berkenaan dengan bandar raya Johor Bahru yang mengambil masa antara 30 minit hingga satu jam menggunakan kereta disifatkan lokasi ideal bagi pelabur untuk membina pusat data berskala besar.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Nanthakumar Loganathan menyifatkan sektor perkhidmatan berimpak tinggi seperti pusat data dan logistik kini menjadi tumpuan utama pelabur di Johor.
Katanya, ini mencerminkan perubahan struktur ekonomi negeri daripada dominasi sektor pembuatan kepada sektor perkhidmatan berteknologi tinggi.
Walaupun beberapa sektor logistik mula beroperasi, beliau berkata konsep logistik pintar masih di peringkat awal pelaksanaan dan memerlukan masa untuk berkembang terutamanya bagi syarikat asing yang baru memulakan operasi di Sedenak Tech Park (STeP) STeP di Kulai.
“Jika dahulunya sektor pembuatan mendominasi, kini pelaburan negeri Johor lebih tertumbuh kepada sektor perkhidmatan yang berpaksikan AI,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Maimunah Ali berkata kehadiran firma global yang semakin meningkat di negeri ini mencerminkan pengiktirafan terhadap Johor sebagai hab pelaburan kondusif.
Katanya, ia turut merangsang ekonomi tempatan dan mengukuhkan daya tarikannya di peringkat nasional serta Asia Tenggara.
“Selain itu, Johor telah pun mempunyai bidang industri yang pelbagai sektor termasuk semikonduktor, pembuatan peralatan pusat data, skala Cloud dan yang terbaharu pusat data AI. Dengan menggalakkan pelaburan dalam rantaian nilai, ekosistem pusat data akan diperkukuh dan dibangunkan.
“Pembangunan kukuh pusat data memberi limpahan ekonomi kepada pembangunan sektor lain seperti tenaga hijau. Penubuhan pusat data juga merupakan penjana strategik kepada AI,” katanya.
EKOSISTEM MESRA PELABUR SOKONG PEMBANGUNAN AI
Maimunah menambah antara faktor penarik ke negeri itu iaitu kemajuan infrastruktur dan kos operasi perniagaan selain insentif yang kompetitif sekali gus meletakkan Johor sebagai negeri mesra pelabur.
“Secara relatif, kos operasi di Johor rendah berbanding Singapura. Kelebihan ini menjangkau kos hartanah, upah buruh dan perbelanjaan utiliti.
“Bagi menyokong dan meningkatkan daya tarikan Johor sebagai hab pelaburan, kerajaan Malaysia juga menyediakan pelbagai insentif bagi menarik pelaburan seperti potongan cukai dan geran insentif,” katanya.
Katanya lagi, penumpuan terhadap pembangunan ekosistem pusat data akan mendorong pertumbuhan Johor sebagai hab AI serantau dengan penyediaan kemudahan dan pelaburan yang menyokong keseluruhan rantaian bekalan pusat data.
“Johor menyediakan satu ekosistem yang menyokong pembangunan AI dan menarik gergasi teknologi global untuk beroperasi secara lokal. Melalui kemudahan itu, firma baharu akan tumbuh dan berkembang selain mewujudkan satu struktur ekonomi baharu.
“Pertumbuhan ekonomi baharu bukan hanya mengukuhkan ekonomi Johor, bahkan akan meningkatkan kompetitif global dalam landskap digital yang pesat. Justeru, Johor bersedia untuk menjadi antara peneraju utama dalam bidang AI pada masa hadapan,” katanya.
Nanthakumar pula berpendapat peranan yang dimainkan oleh agensi Persekutuan dan negeri seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia-Johor (IMFC-J) penting dalam memperkukuh hubungan di antara pelabur dengan kerajaan.
“Di peringkat negeri pula, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) juga memainkan peranan dalam mencorakkan aliran pelaburan masuk di Johor,” katanya.
Selain itu, inisiatif seperti Johor Fast Lane memudahkan para pelabur dalam mempercepatkan proses seperti permohonan pelesenan dan dokumentasi yang sebelum ini dilihat antara karenah birokrasi yang terpaksa dihadapi mereka.
REALISASI SHENZHEN OF SOUTHEAST ASIA
Sementara itu, Tee, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, juga berkata pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) juga menjadi pemangkin terpenting dalam pencapaian tersebut.
Beliau berkata momentum pelaburan yang dipamerkan berpotensi untuk membawa negeri itu sebagai antara kuasa ekonomi terbesar di rantau ini khususnya apabila Johor semakin menjadi tumpuan di mata dunia.
Selain itu, daya tarikan pelaburan Johor diperkukuh dengan kedudukan strategik di persimpangan laluan maritim utama dunia iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan, sekali gus menjadikan Johor hab logistik dan perdagangan serantau yang semakin berpengaruh.
Nathakumar yang turut senada dengan Tee berkata dengan kedudukan geografi yang strategik, bersempadankan Singapura, JS-SEZ akan berupaya dimanfaatkan sepenuh potensinya dengan mengambil kira kekuatan kedua-dua “rakan kongsi” berkenaan.
-- BERNAMA