BERITA TERKINI   88,000 unit produk kesihatan disyaki mengandungi racun berjadual bernilai RM24 juta dirampas di Pulau Pinang - Pengarah Kesihatan Negeri | Ringgit cecah paras tertinggi baharu pada 3.9668 berbanding dolar AS selepas sesi rehat tengah hari | Ringgit cecah paras tertinggi baharu pada 3.96 berbanding dolar AS selepas sesi rehat tengah hari | Polis ambil keterangan beberapa pegawai tentera susulan penyebaran maklumat berkaitan perjawatan strategik ATM - Mohamed Khaled | Pembekuan perolehan ATM: MINDEF akan buat perundingan jika operasi terjejas - Mohamed Khaled | 

Avaland Akan Laksanakan Projek Pembangunan Bercampur Dengan GDV RM900 Juta

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Avaland Bhd merancang untuk melaksanakan pembangunan komersial bercampur di Jalan Putra, Kuala Lumpur, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM900 juta.

Bagi tujuan itu, pemaju hartanah berkenaan menandatangani perjanjian untuk memperoleh sembilan bidang tanah pegangan bebas di Jalan Putra, Kuala Lumpur, yang bernilai RM148.8 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Avaland Apollo Bello Tanco berkata pemerolehan itu akan meningkatkan kehadiran syarikat di Kuala Lumpur dengan melengkapi pembangunan sedia ada di Seputeh dan Taman Desa.

Ini bertujuan memberi peluang kepada syarikat itu untuk memperkenalkan penawaran produk yang berfokus kepada pelaburan di lokasi-lokasi bandar utama.

“Selain itu, pemerolehan ini akan mengukuhkan kedudukan jenama syarikat sebagai pemaju hartanah yang berkualiti tinggi di Lembah Klang,” katanya.

Tanco berkata tanah yang baru diperoleh itu dijangka menyumbang secara positif kepada trajektori pendapatan syarikat.

Digabungkan dengan pembelian tanah baru-baru ini di Seksyen 13, Petaling Jaya, GDV bagi kedua-dua  pembangunan yang dicadangkan itu dijangka melebihi RM1.2 bilion.

Pemerolehan itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman syarikat dan pinjaman bank.

-- BERNAMA